suria

Apabila Sam (D’lloyd) Ajak Raja Perlis Nyanyi…

Konsert D'lloyd 'Semalam Di Malaysia' sedang berlangsung di Istana Budaya sehingga 8 Mei ini. - Foto RICKY LAI
Konsert D'lloyd 'Semalam Di Malaysia' sedang berlangsung di Istana Budaya sehingga 8 Mei ini. - Foto RICKY LAI
Konsert D'lloyd 'Semalam Di Malaysia' sedang berlangsung di Istana Budaya sehingga 8 Mei ini. - Foto RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Konsert D’lloyd ‘Semalam di Malaysia’ menjadi gamat apabila vokalis Syamsuar Hashim (Sam) mengajak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk sama-sama menyanyikan sedikit lagu Cinta Hampa di Istana Budaya, Jumaat.

Bagaimanapun, Tuanku Syed Sirajuddin menolak pelawaan tersebut dengan cara yang baik.

Biarpun begitu, penyanyi berasal dari Indonesia itu meneruskan persembahannya dengan menyanyikan lagu-lagu popular mereka termasuklah Rintihan Hidup, Sepanjang Lorong Yang Gelap, Keluhan dan Rintihan, Rambutmu Rambutku, Pandang Pandangan, Semalam Di Malaysia, Khayal dan Penyair, Titik Noda dan Nasib.

Kebanyakan penonton yang hadir menonton persembahan itu berusia 40 tahun ke atas. Walaupun penulis kurang mendengar lagu-lagu kumpulan yang popular sejak tahun 60-an itu, namun setiap lagu yang didendangkan mampu memikat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Ada juga peminat tegar kumpulan muzik legenda dari Indonesia itu sanggup datang dari Sarawak semata-mata untuk menonton persembahan kumpulan yang kali terakhir muncul di negara ini pada 1978.

Begitulah aura dan penangan D’lloyd yang masih malar hijau serta diminati sehingga sekarang tidak kira peringkat usia.

Abang Sam meninggal dunia

Walaupun Sam menerima berita sedih tentang abangnya, Norman Hussein yang meninggal dunia pada pukul 5.40 petang, Jumaat, dia tetap meneruskan persembahannya.

Kata Sam, setiap urusan dunia perlu diteruskan dan dia redha dengan pemergian arwah abangnya itu.

Selain vokal Sam yang sedap didengar, kehebatan Yuhanny Fatmarida Susilo (Yuyun) bermain flute cukup mempesonakan. Malah, Yuyun juga mempunyai vokal yang merdu apabila menyanyikan beberapa buah lagu seperti Engkau Laksana Bulan nyanyian P.Ramlee dan Fatwa Pujangga.

Konsert yang turut menampilkan penyanyi tempatan, Datuk Ahmad Jais itu dipentaskan sehingga 8 Mei ini.

Kumpulan D’lloyd turut dianggotai oleh , Bartje Van Houten (gitar), Chairul Daud (Khairul/dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Uce F Tekol (Tooto/bass). Sementara persembahan mereka diiringi oleh orkestra di bawah pimpinan komposer terkenal S. Atan.

Untuk pembelian tiket atau maklumat lanjut, sila layari laman web www.ticket2u.com atau hubungi talian 03-41478600, 019-3391445 dan 019-2757192.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain