Jamal AbdillahKUALA LUMPUR: Raja pop, Jamal Abdilah, 52, menyarankan agar artis-artis tempatan memulakan perniagaan sebagai jaminan masa depan.Menurut Jamal, kebanyakan artis muda masih lagi tidak memikirkan tentang masa depan sedangkan mereka tahu karier sebagai artis belum tentu boleh menjamin masa depan. "Memang ada segelintir artis yang bergiat aktif dalam perniagaan. Saya rasa, artis muda juga perlu berbuat demikian."Sekurang-kurangnya, apabila sudah tua nanti, mereka tidak perlu bekerja keras seperti di zaman muda memikirkan soal pendapatan hidup," katanya.Tambah Jamal, menerusi perniagaan juga, para artis juga tidak perlu bersusah payah meminta bantuan kewangan daripada mana-mana badan persatuan apabila usia lanjut nanti seperti yang dilalui oleh beberapa artis veteran tempatan.Dalam pada itu, Jamal bukan sahaja membabitkan diri pada sebuah perniagaan sahaja bahkan dia memiliki lebih kurang empat jenis perniagaan.Antara perniagaan yang diceburinya ialah ternakan ikan perhiasan Arowana di Bukit Merah Lake Town, Perak, untuk dieksport ke luar negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.Selain itu, Jamal turut menceburi perniagaan di bidang kecantikan D'Jas, pembekalan alat tulis dan yang terbaru, penyanyi itu mula menjadi agen pembekal emas menerusi syarikat Serambi Emas.Bagaimanapun, jika dipanjangkan umur, Jamal ingin mengurangkan aktiviti seni nyanyiannya pada usia 55 tahun dan ingin memberi fokus pada perniagaannya sahaja.Ini kerana, dia percaya, di usia itu, tahap kesihatannya pasti tidak memberangsangkan seperti sekarang."Selain untuk bekalan diri, perniagaan juga merupakan jaminan masa depan anak-anak saya."Bagaimanapun, saya akan mula perlahankan kerjaya seni saya pada usia 55 tahun agar dapat memberi tumpuan dalam perniagaan."Alhamdulillah, sepanjang lima tahun saya bekerja keras dalam perniagaan, adalah sedikit hasil yang boleh disimpan. Mungkin ada yang beranggapan, saya agak ketinggalan kerana bila usia dah lanjut baru nak mulakan perniagaan, saya tak kisah," ujarnya.