Sara AliPETALING JAYA: Pelakon baru Sara Ali, 21, yang bakal muncul dalam filem Nur Kasih The Movie (NKTM) pada 19 Mei ini, mengakui berasa keliru dengan selera dan trend penonton filem Melayu hari ini.Kata Sara, corak kutipan filem Melayu di pawagam hari ini yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten membuatkannya tidak faham dengan selera sebenar penonton. "Saya sangat tidak faham dengan selera penonton filem hari ini. Kalau sebelum ini, kita mungkin boleh jangka atau ramal filem bercorak bagaimana yang akan dapat sambutan tetapi trend tersebut berubah sejak kebelakangan ini."Berdasarkan rekod daripada Finas, bukan semua filem seram atau komedi dapat sambutan luar biasa. Banyak juga filem yang mengetengahkan genre-genre kegemaran ramai ini kurang menyerlah di pawagam."Senario itu membuatkan saya bimbang pula dengan sambutan penonton terhadap NKTM kelak," katanya.Tambah aktres bertubuh kecil ini, jika dinilai pada populariti dan kekuatan jenama siri Nur Kasih, sememangnya sambutan luar biasa dan kutipan pecah panggung mampu untuk dicapai.Namun, perkara itu bukan satu jaminan dan ia boleh berubah memandangkan NKTM perlu bersaing dengan filem tempatan seperti Kongsi yang mula ditayangkan 12 Mei ini dan filem-filem luar iaitu sekuel Pirates of the Carribean dan Kung Fu Panda."Kalau diikutkan, memanglah populariti NKTM itu sudah kuat tetapi filem ini juga perlu bersaing dengan filem-filem lain."Filem Kongsi contohnya, mempunyai tarikan tersendiri kerana mempertaruhkan Shaheizy Sam yang sememangnya digilai ramai."Hakikatnya, trend penonton hari ini sukar untuk diramalkan walaupun untuk filem sebesar jenama NKTM," katanya.Dalam filem arahan Kabir Bhatia itu, Sara menggalas watak remaja bermasalah bernama Juriah di samping dua lagi bakat muda iaitu Syafie Naswip dan Muniff Isa.NKTM yang membariskan Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz selaku teraju utama akan ditayangkan di 71 pawagam termasuk Brunei bermula 19 Mei ini.