suria

Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera, Khas Buat Penulis Lirik

Dari kiri: Ad Samad, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Freddie Fernandez.- Foto SAMUEL ONG
Dari kiri: Ad Samad, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Freddie Fernandez.- Foto SAMUEL ONG
Dari kiri: Ad Samad, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Freddie Fernandez.- Foto SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan program Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera khas untuk penggiat-penggiat seni tempatan pada 24 mei depan.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Karyawan itu bertujuan untuk berdiskusi tentang penghasilan penulisan lirik berkualiti sekali gus dapat mengeluarkan produk lagu yang bagus.

"Rasanya, belum pernah ada lagi program sebegini dianjurkan dan industri muzik tempatan tidak pernah membuat diskusi khas tentang penciptaan lirik lagu.

"Sebaliknya, mereka lebih fokus dengan melodi lagu semata-mata. Sedangkan ramai yang tidak sedar bahawa muzik sebagai sebuah alat untuk membina negara, maka lirik lagu yang dicipta amatlah penting sebelum diperdengarkan kepada umum," katanya.

Dalam program tersebut, acara akan dibahagikan kepada dua siri iaitu sesi dialog yang bertajuk Peranan karyawan Seni Dalam Memperkasakan bahasa dan Sastera tanah Air serta sesi deklamasi puisi dan persembahan oleh beberapa orang penyanyi.

Pada majlis dialog berkenaan, seramai empat orang panel daripada penggiat seni tempatan profesional iaitu habsah Hassan, Ad Samad, Hairul Anuar dan Profesor Madya

Dr. Lim Swee Tin akan membincangkan mengenai kualiti dan cara penulisan lirik dengan menggunakan ayat-ayat sastera.

Beritahu presiden Karyawan Freddie Fernandez, memandangkan lirik lagu yang dihasilkan tiada unsur-unsur pengajaran mahupun berkaitan dengan hal-hal kemasyarakatan masa kini, program ini wajar diadakan untuk mengembangkan lagi karya-karya penghasilan lirik lagu.

"Jika dikaji semula lirik-lirik lagu yang ada sekarang, kebanyakannya lebih memberi fokus tentang cinta sedangkan penghasilan sesebuah lirik lagu juga boleh mengaitkan soal alam dan isu sosial yang berlaku di sekeliling kita.

"Lebih-lebih lagi sekarang ini terlalu banyak pengaruh lirik yang tidak senonoh daripada muzik luar.

"Menerusi program ini, kita dapat mengeluarkan produk lirik dan lagu yang lebih bagus dan saya harap acara sebegini akan dianjurkan setiap tahun," ujarnya.

Bagi sesiapa yang ingin menyertai program tersebut sila hubungi pihak Karyawan di talian 03-79558967 atau 014-7176276 (Ahmad).

Artikel Lain