suria

Dynas Buka Butik Ibu Mengandung

Dynas Mokhtar
Dynas Mokhtar
Dynas Mokhtar

PETALING JAYA: Pelakon Dynas Mokhtar sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan wang sejumlah RM150,000 untuk membuka butik Dynas Nursing Attire (DNA).

Menurut Dynas dia gembira kerana impiannya untuk membuka sebuah butik pakaian ibu mengandung serta mereka yang menyusukan anak tercapai kerana perancangan tersebut telah dibuat sejak setahun lalu.

"Sebenarnya saya tidak ada keberanian dan kurang yakin untuk membuka perniagaan bersendirian lebih-lebih lagi terpaksa mengeluarkan modal yang besar tanpa membuat pinjaman.

"Bagaimanapun, keluarga, ibu dan seorang rakan daripada Nurturing Concept iaitu Rita yang telah menaikkan semangat dan menyokong saya untuk bergerak sendiri dalam perniagaan ini," katanya yang ditemui pada pelancaran butik DNA di The Curve, di sini, Rabu.

Kata Dynas, idea menghasilkan pakaian ibu mula tercetus ketika dia mengandungkan Khyra Khalisa, di mana dia agak sukar untuk mencari pakaian ibu mengandung yang sesuai serta moden.

Malah pakaian khas buat ibu yang menyusukan anak juga sukar untuk dicari di Malaysia dan hal tersebut membuatkan Dynas mula mengilhamkan beberapa pakaian yang sesuai.

"Memang agak sukar untuk kita cari baju moden yang sesuai dengan status seorang ibu yang menyusukan anak.

"Dengan rekaan saya ini, ibu-ibu di luar sana boleh menyusukan anak di mana-mana sahaja tanpa perlu mendedahkan kulit," tuturnya.

Dalam pada itu, dia juga sedang membuat perancangan untuk mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan pakaian bagi wanita bertudung dan pada masa sama turut berharap agar jenama DNA dapat tembus ke pasaran luar.

Butik DNA kini terletak di tingkat satu pusat beli-belah The Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain