suria

Farah Asyikin Tidak Akan Berduet Selepas Kematian Shamrin

PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin, 32, memberitahu fobia untuk berduet dengan mana-mana artis kerana masih tidak dapat melupakan kematian Allahyarham Shamrin Fotograf pada 11 November tahun lalu akibat serangan jantung.

Jelasnya, fobia itu terjadi kerana dia dan Allahyarham baru sahaja menyiapkan projek lagu duet berjudul Aku Kamu Satu sebelum pemergiannya.

“Saya jadi fobia untuk berduet dengan mana-mana artis lagi kerana kejadian itu. Lebih sedih dia yang mahu saya nyanyi bersamanya untuk lagu itu,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Farah sehingga kini dia masih tidak mampu untuk mendengar semula lagu berkenaan yang telah siap sepenuhnya apatah lagi meneruskan projek berkenaan yang masih tertangguh.

“Lagu tersebut sudah siap dan kini berada dalam simpanan saya. Saya tak mampu nak dengar semula dan tiada perancangan untuk meneruskan projek menerbitkan lagu tersebut.

“Jika diingat penat lelah kami, memang saya sedih kerana dia sangat teruja menunggu lagu itu dimainkan di radio,” katanya.

Kata Farah lagi peristiwa yang berlaku itu adalah yang pertama dan terakhir kerana dia sudah membuat keputusan untuk tidak mahu berduet lagi selepas ini.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Farah kini sibuk merakamkan single terbarunya bersama komposer terkenal Ajai.

“Saya sedang menyiapkan single berjudul Tiada Penghujungnya yang di jadual dilancarkan pada bulan depan.

“Saya harap dengan kemunculan single tersebut mampu mengangkat kembali nama saya di persada industri seni suara ini. Saya tahu beberapa tahun ini saya banyak menyepikan diri,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain