JUARA American Idol pertama Kelly Clarkson mengakui masih lagi mengikuti dan menjadi peminat setia kepada program yang mencungkil bakatnya itu, biarpun program tersebut sudah memasuki musim kesepuluh."Saya salah seorang yang sangat meminati program-program seperti itu, apatah lagi American Idol yang telah membawa saya hingga ke tahap ini," ujarnya seperti dipetik Showbiz Spy, Jumaat. Penyanyi lagu Breakaway itu mengakui sangat mencintai bidang seni suara, malah hingga saat ini dia masih berusaha meningkatkan mutu suaranya."Bagi saya tidak mudah untuk mempertahankan kualiti dan kepercayaan diri dalam industri ini. Setiap hari ada saja pendatang baru yang kualitinya jauh lebih baik daripada saya," ujar pemilik nama lengkap Kelly Brianne Clarkson itu.Tambahnya, dia tidak malu untuk berkongsi rahsia dan bertukar-tukar pendapat bersama pendatang baru untuk kebaikan bersama.