Pierre Andre ingin lebih mengenali keluarga kekasihnya sebelum merancang untuk berkahwin. - Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIASPETALING JAYA: Hasrat pengarah dan pelakon Pierre Andre untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini tidak kesampaian apabila dia terpaksa menangguhkan keinginan itu untuk lebih mengenali keluarga sebelah perempuan.Pierre berkata, hubungannya dengan gadis, kerabat diraja Terengganu yang sudah terjalin lebih tiga tahun itu tidak menghadapi masalah. Sebaliknya, dia perlu meyakinkan keluarga kekasihnya itu tentang kemampuannya untuk bergelar suami yang berstatuskan anak seni."Kalau boleh memang saya hendak kahwin awal seperti yang sering saya katakan sebelum ini tapi nampaknya saya terpaksa ditangguhkan dahulu buat masa ini."Hubungan kami tiada sebarang masalah. Malah, keluarga kedua-dua belah pihak juga merestuinya. Namun saya perlukan sedikit masa untuk lebih mengenali dan memenangi kepercayaan keluarga kekasih saya sebelum merancang tentang perkahwinan," katanya.Bercerita tentang perkembangan terbaru, Pierre kini kembali ke kerusi pengarah di bawah produksi MIG Production menerusi drama bersiri Ana Lu’lu."Ini adalah tugas pengarahan pertama saya di bawah produksi MIG selepas persengketaan antara saya dan David berakhir tahun lalu."Selain drama ini, saya tidak pasti bila saya akan dapat mengarahkan semula filem-filem MIG kerana sudah terikat dengan pelbagai projek bersama produksi luar sepanjang tahun ini," katanya yang mengakui penerbit itu memberikan kebebasan kepadanya untuk berkarya dengan produksi lain.Pierre yang kembali aktif ke bidang pengarahan dan lakonan selepas krisis yang dihadapinya kira-kira dua tahun lalu bakal muncul dengan empat buah filem iaitu Al Hijab, Chantek, Aku, Kau dan Dia dan Bisikan Puaka yang masih menantikan tarikh tayangan."Sudah empat buah filem arahan saya siap. Malah, sekarang saya tengah buat suntingan filem Aku, Kau dan Dia."Selepas menamatkan baki penggambaran drama Ana Lu’lu, saya akan memulakan sebuah lagi filem dan beberapa projek lain," katanya.