Farid KamilPETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari, 30, mengakui terkejut dengan kutipan pecah panggung filem arahannya iaitu Kongsi sebanyak RM8 juta selepas tiga minggu ditayangkan bermula 12 Mei lalu.Jelas Farid, walaupun filem komedi aksi yang menelan belanja RM1.82 juta (tidak termasuk promosi) itu menerima ulasan dan komen yang kurang memberangsangkan daripada pihak media, dia bagaimanapun terharu dengan sokongan masyarakat terhadap filem itu. "Saya akui respons daripada teman media terhadap filem Kongsi kurang memberangsangkan tetapi kutipan yang diterima oleh filem ini membuktikan ia diterima oleh penonton."Bagi saya, segala komen daripada media akan saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan pada karya akan datang."Manakala sambutan luar biasa ini akan menjadi pemangkin semangat untuk saya terus menghasilkan lebih banyak filem yang digemari oleh masyarakat," katanya kepada mStar Online, Khamis.Dalam pada itu, Farid turut meluahkan perasaan terkilannya dengan tempoh tayangan yang terhad bagi filem-filem tempatan pada waktu ini.Menurutnya, kemunculan sebuah filem baru pada setiap minggu adalah satu keadaan yang tidak adil untuk pembikin-pembikin filem."Bukan saya tamak atau tidak berpuas hati dengan kutipan yang diterima. Cuma, senario satu filem seminggu ini adalah tidak adil buat kami, pembikin filem."Saya faham dengan krisis lambakan filem menjadi faktor keputusan itu tetapi kalau sesebuah filem itu diberikan tempoh tayangan yang lebih panjang, tentu akan dapat kutipan lebih baik," katanya lagi.Farid kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Wasiat untuk Astro Citra.Drama arahan Faizal Ishak itu turut membariskan Sara Ali, Beto Khusairy dan ramai lagi.