suria

Annahita Bikin Dokumentari 'Jejak Rasul In Rusia'

Annahita bakal muncul dengan dokumentari travelog 'Jejak Rasul In Rusia' yang sedang dalam proses suntingan. - Foto LOW LAY PHON
Annahita bakal muncul dengan dokumentari travelog 'Jejak Rasul In Rusia' yang sedang dalam proses suntingan. - Foto LOW LAY PHON
Annahita bakal muncul dengan dokumentari travelog 'Jejak Rasul In Rusia' yang sedang dalam proses suntingan. - Foto LOW LAY PHON

PETALING JAYA: Daripada seorang pengacara, Datin Annahita Bakavoli turut bergelar seorang penulis skrip. Terbaru, dia sedang terlibat dengan projek dokumentari travelog Jejak Rasul In Rusia edisi antarabangsa terbitan Primeworks Studios.

Jika sebelum ini, dia lebih terdedah kepada program genre jenayah tetapi kali ini Annahita mengubah haluan kepada program bercorak keagamaan, sejarah dan budaya.

Menurutnya, dokumentari dalam bahasa Inggeris tersebut bakal dipasarkan di luar negara dan turut disiarkan di stesen televisyen tempatan.

“Pihak produksi telah melakukan penggambaran untuk dokumentari ini dan sedang dalam proses penyuntingan. Selain menyediakan skrip, saya juga bertindak sebagai suara latar dan pencerita.

“Olahan skripnya agak berbeza sedikit berbanding program Jejak Rasul yang disiarkan sebelum ini di TV3. Tetapi kami masih lagi mengaitkan dokumentari itu dengan kisah rasul. Jadi, cabarannya saya perlu lebih mendalami tentang sejarah rasul,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya: “Kami juga memilih negara Rusia sebagai lokasi kerana Islam merupakan agama kedua terbesar di negara itu.

“Kami juga akan memaparkan tentang bagaimana orang Rusia tertarik dengan Islam dan bagaimana agama itu semakin berkembang di Rusia serta keunikan mereka mempraktikkan Islam.”

Selain itu, pelbagai kajian yang dilakukan oleh Annahita termasuklah mencari sumber tentang sejarah Rusia serta cara dakwah Islam disampaikan di negara tersebut.

“Saya perlu mendalami siapa tokoh terkenal yang mempropagandakan Islam di Rusia, sejauh mana Islam disampaikan di sana serta sejarah masjid-masjid yang indah.

“Untuk menjadikan program ini lebih menarik, kami akan turut memaparkan elemen budaya dan pengembaraan kerana kami mahu penonton terhibur dengan program ini selain sarat dengan maklumat dan nilai-nilai murni,” ujarnya yang pernah menghasilkan skrip untuk program Kronologi Eksklusif Siasatan (KES) di TV3.

Dalam perkembangan lain, Annahita baru selesai menjadi salah seorang hos program Agro-Xplorasi di TV3 dan bertugas sebagai wartawan penyiaran di bawah Media Prima Berhad sejak dua tahun lalu.

Menyentuh tentang peribadi, dia yang hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Saiful Bahar Datuk Mohd. Arshad sedang bahagia dengan keluarga dan kariernya.

“Saya sedang sibuk bekerja dan tidak merancang tentang anak. Semuanya bergantung kepada rezeki Allah,” katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain