suria

Juliana Evans Tidak Percaya Diet

WAJAH comel dan lembut milik Juliana Evans (Jue) membuatkan ramai lelaki yang terpesona terhadapnya Siapa yang tidak tertawan dengan pelakon dan pengacara berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini?

Dia juga pernah menjadi buah hati kepada penyanyi Sam (Bunkface). Selepas itu, namanya dikaitkan dengan seorang lagi artis iaitu pelakon Zizan (Raja Lawak).

Bagaimanapun, Jue menganggap cerita tentang hubungan cintanya dengan Zizan sebagai gosip.

Namun begitu, dia tidak menafikan selesa berkawan dengan lelaki itu yang sememangnya pandai berjenaka.

Kini, dirinya masih solo dan enggan terlalu memikirkan tentang cinta tambahan pula dia mahu menumpukan kepada pelajarannya terlebih dahulu.

Di sebalik cerita cinta, Jue mengaku akibat sikapnya yang gemar memendam perasaan, dia pernah mencintai seorang lelaki dalam diam. Itu cerita dulu kerana sekarang, pelakon filem Kami The Movie ini semakin terbuka untuk meluahkan perasaannya kepada seseorang yang disukainya.

“Bagaimanapun, saya lebih selesa sekiranya lelaki yang meluahkan dulu,” kata pelajar jurusan Komunikasi Massa di Kolej Sunway ini kepada OopStarz!.

Setelah beberapa ketika mengehadkan dirinya kepada dunia seni, kini Jue kembali aktif dengan berlakon beberapa telefilem iaitu Kasih Ke Syurga, Puteri Pulau Tuba dan bakal mengacara program Dentyne Karaoke yang disiarkan di sebuah laman sesawang.

Menyentuh tentang penjagaan kecantikan, paling menarik adalah Jue tidak percayakan diet.

“Apabila saya terlalu memikirkan diet, saya menjadi tertekan dan akan makan lebih banyak.

“Jadi, saya memilih untuk makan seperti biasa mengikut waktu makan yang betul. Walaupun kadangkala jadual makan tidak menentu, saya tetap akan memastikan perut tidak kosong.

“Saya juga makan nasi berselang hari dan menggantikan makanan itu dengan mi, sandwic atau makanan barat lain,” katanya yang jarang makan pada waktu tengah hari.

Biarpun begitu, dia sebenarnya menggemari makanan Melayu seperti sambal belacan dan sambal tempoyak yang pedas.

Muka tembam

Mungkin ada yang tidak perasan bahawa gadis berkulit cerah ini pernah mengalami pertambahan berat badan.

Katanya ketika berusia 15 tahun pipinya pernah menjadi tembam kerana berhenti daripada bermain gimnastik.

“Saya aktif melakukan sukan itu sejak berusia 7 tahun dan pernah menang secara berkumpulan mewakili Selangor.

“Wajah saya menjadi tembam sehingga usia 17 tahun. Namun begitu, saya rasa terkejut apabila berat badan saya berkurang secara tiba-tiba. Mungkin disebabkan saya tidak terlalu fikir tentang diet dan menikmati makanan seperti biasa.

“Ini kerana apabila saya murung dan rasa rendah diri dengan fizikal saya, ia membuatkan saya tertekan dan membuatkan saya makan lebih banyak,” ujarnya.

Gemar urut badan

Jika dibandingkan antara rawatan muka atau badan, Jue akan memilih rawatan badan untuk menyegarkan dirinya daripada penat bekerja.

“Saya tak percayakan rawatan muka di pusat kecantikan tetapi akan melakukannya sendiri di rumah.

“Namun, saya suka membuat urutan badan. Sekarang ini saya agak jarang melakukan amalan itu kerana tidak mempunyai masa terluang.

“Saya sangat menjaga kecantikan muka dan akan mengelak daripada tidur tanpa mencuci mekap. Walau lambat mana sekalipun saya tidur, saya akan pastikan wajah dibersihkan terlebih dahulu.

“Saya juga mengelak daripada bersolek setiap hari dan secara kerap. Saya hanya akan bersolek apabila di set penggambaran, menghadiri majlis tertentu dan keluar bersama kawan.

“Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak bersolek tebal apabila keluar dengan kawan dan gemar memakai maskara serta celak mata.

“Saya juga tidak menggunakan terlalu banyak produk penjagaan kulit kerana kadangkala kulit saya agak sensitif. Setiap kali bersolek, pasti saya akan meletak pelembap muka terlebih dahulu.

“Sekali seminggu, saya akan memakai topeng muka yang dijual di pasaran untuk menyegarkan dan menukar semula sel-sel kulit,” jelasnya lagi.

Jue mula belajar memakai mekap sejak berusia 12 tahun ketika ditawarkan menjadi pengacara.

Dia mengehadkan penggunaan produk kecantikan kulit dan jarang menghabiskan banyak wang semata-mata untuk membeli produk tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain