suria

Jason Lian: Dari Cuba-Cuba Kini Minat Mengacara

Jason Lian
Jason Lian
Jason Lian

TIDAK pernah terfikir untuk melangkah ke industri hiburan, pengacara rancangan 5 Rencah, 5 Rasa terbitan TV3, Shersen Lian atau lebih mesra dipanggil Jason menganggap penglibatannya dalam industri ini adalah secara tidak sengaja.

Pemuda berusia 26 tahun ini mengakui bidang pengacaraan merupakan sesuatu yang agak baru baginya, dan dia masih lagi belajar untuk menjadi lebih baik.

Mengimbau kali pertama menjejakkan kaki pada sesi uji bakat yang dilakukan di Sri Pentas, dia hanya sekadar mencuba nasib, apatah lagi program tersebut merupakan program berbahasa Malaysia.

"Pada asalnya saya dipelawa oleh seorang penerbit 8TV tapi ketika itu dia hanya meminta nombor telefon untuk dihubungi selepas kami bertemu di restoran keluarga saya di Kuala Lumpur. Kemudian saya dihubungi oleh pihak TV3 untuk datang uji bakat program. Ketika sampai di Sri Pentas mereka hanya beri skrip dan bahan-bahan untuk masakan.

"Lebih menakutkan saya apabila skrip tersebut dalam bahasa Malaysia. Pada mulanya saya fikirkan untuk program berbahasa Inggeris. Tapi disebabkan saya sudah pun sampai, saya hanya buat yang termampu," ujarnya.

Tambah Jason selepas sesi temu duga, dia tidak terlalu berharap kerana sedar dirinya tidak fasih berbahasa Malaysia berbanding calon-calon uji bakat yang hadir ketika itu.

Bagaimanapun, kata Jason, selepas beberapa minggu, penerbit rancangan tersebut, Intan Suraya telah menghubunginya untuk menggalas tugas sebagai pengacara.

"Mereka beri kepercayaan kepada saya untuk kendalikan program itu, jadi saya tidak boleh mensia-siakan peluang yang diberikan.

"Saya tahu kelemahan saya ialah tidak fasih berbahasa Malaysia dan saya cuba atasinya sedikit demi sedikit," ujarnya yang kini mengacarakan rancangan berkenaan untuk musim kedua.

Tambahnya, bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Malaysia, dia sentiasa berkomunikasi dalam bahasa tersebut bersama rakan-rakan dan keluarga.

"Saya bukan tidak tahu langsung bahasa Melayu, cuma saya jarang menggunakannya sejak habis sekolah.

Dulu saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan memang bertutur menggunakan bahasa Malaysia," katanya.

Kata Jason, biarpun masih terlalu baru untuk dibandingkan dengan selebriti chef yang sudah menempa nama di industri ini, jauh di sudut hatinya mahu mengendalikan program terbitan sendiri.

"Pada awalnya memang pekerjaan ini hanya sekadar percubaan, tapi selepas mendapat respons yang baik daripada penonton saya semakin teruja untuk serius dalam bidang ini.

"Kalau boleh saya mahu pergi jauh dalam bidang pengacaraan. Saya juga mengimpikan untuk menerbitkan program masakan dan pengembaraan sendiri," tuturnya.

Berbeza daripada lelaki-lelaki lain, Jason meminati bidang masakan kerana ia mempunyai kesenian tersendiri. Malah dia juga menyangkal persepsi segelintir lelaki yang menganggap bidang ini untuk kaum wanita.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan makanan. Sejak kecil lagi saya sudah disuruh membantu ibu saya di dapur.

"Mulanya memang saya tidak suka kerana itu adalah kerja kaum wanita, tetapi lama kelamaan saya semakin minat memasak.

"Kemudian keluarga saya menghantar saya keluar negara dalam bidang kulinari dan mengusahakan salah sebuah restoran milik keluarga di Kuala Lumpur," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang peribadi, anak jati Kuala Lumpur ini masih belum mendirikan rumah tangga.

Namun begitu dia akui mahukan seorang isteri yang pandai memasak kerana baginya, setiap wanita itu perlu mempunyai kebolehan sedemikian.

Artikel Lain