suria

Ana Raffali Tidak Masam Muka Dengan Sohaimi

Ana Raffali
Ana Raffali
Ana Raffali

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ana Raffali menjelaskan tiada sebarang perselisihan faham antara dia dengan penyanyi veteran Sohaimi Mior Hasan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar.

Jelas Ana, hubungannya dan Sohaimi masih seperti dahulu, malah mereka akan bekerjasama sekali lagi dalam menghasilkan single terbarunya berjudul Sayang Abah.

"Saya tidak pernah berselisihan faham atau bergaduh dengan uncle Sohaimi seperti yang dituduh. Memang kami kadang-kadang tidak dapat menyanyikan lagu Kalau Berpacaran bersama kerana komitmen masing-masing, tapi tidak bermakna kami bermasam muka atau tidak profesional.

"Kami akan bekerjasama untuk ‘single’ terbaru saya berjudul Sayang Abah yang akan berduet bersama Ramli Sarip," ujarnya ketika ditemui di Malam Universal & Showcase 2011, di sini, Selasa.

Dalam laporan sebuah akhbar mingguan menerusi ruangan gosip, Ahad lalu, Ana dikatakan bermasam muka dengan pasangan duetnya, Sohaimi Mior Hassan apabila dia sering menyanyi bersendirian tanpa penyanyi tersebut.

Selain itu, dia juga dituduh sebagai kacang lupakan kulit apabila membuat keputusan keluar dari syarikat rakaman milik Aidid Alfian, Indah Karya Sdn Bhd.

Dia juga dikatakan tidak selesa dengan imej berbaju kurung serta tidak pandai bermain gitar.

Jelas Ana, dia tidak pernah keluar dari syarikat rakaman tersebut tetapi hanya pengurusan perjalanan kerjayanya sahaja diuruskan di bawah syarikat miliknya sendiri About The Letter A Sdn Bhd.

"Akar Karya masih menerbitkan lagu dan album saya. Saya hanya meringankan beban mereka dengan mengambil alih tugas Kak Zaza untuk menguruskan kerjaya saya sendiri.

"Bagaimanapun perkara itu bukan disebabkan perselisihan faham seperti yang dilaporkan akhbar tersebut.

"Segala keputusan yang dibuat selepas membuat perbincangan kedua-dua belah pihak, namun sehingga sekarang kami masih menerima nasihat dari pihak mereka," jelasnya.

Berikutan imej berbaju kurung, kata Ana, ia adalah keputusan yang dibuat oleh dirinya sendiri dan bukan paksaan daripada mana-mana pihak.

"Saya dikenali di YouTube dengan imej tersebut dan abang Aidid hanya beri cadangan untuk teruskan imej berkenaan.

"Secara jujur saya selesa dengan imej itu, namun saya tidak kata saya memakainya 24 jam sehari. Jika di luar saya juga mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan tempat dan keadaan, tapi tidaklah seksi seperti yang mereka dakwa," katanya yang kesal dengan tuduhan-tuduhan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain