suria

'Inspirasi' Buah Tangan Terbaru Man Bai

Man Bai memperdengarkan album terbarunya yang berjudul Inspirasi kepada media. - Foto YAP CHEE HONG
Man Bai memperdengarkan album terbarunya yang berjudul Inspirasi kepada media. - Foto YAP CHEE HONG
Man Bai memperdengarkan album terbarunya yang berjudul Inspirasi kepada media. - Foto YAP CHEE HONG

KUALA LUMPUR: Penyanyi Abdul Rahman Osman (Man Bai), 44, yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air kembali dengan album solo berjudul Inspirasi.

Album memuatkan lapan buah lagu tersebut akan berada di pasaran mulai 30 Jun ini.

"Inspirasi dipilih kerana semua lagu dalam album ini adalah sumber inspirasi saya.

"Apa yang menguatkan diri saya untuk kembali menghasilkan album adalah keinginan untuk berkarya dan menyanyi," katanya dalam satu sidang media di pejabat Sony Music Entertainment, di Solaris Dutamas, di sini, Rabu.

Biarpun sedikit teruja dan lega dengan penghasilan album yang mengambil masa selama empat bulan sejak dirakamkan pada Januari lalu, dia akui berasa gentar dengan penerimaan peminat.

"Saya takut dengan reaksi peminat sebab negara ini mempunyai ramai penyanyi. Saya juga tidak tahu berapa lama lagi akan bertahan dalam industri ini.

"Walaupun begitu, saya tetap akan cuba mengalih perhatian peminat kepada Man Bai," ujarnya bersungguh-sungguh.

Selain mengekalkan jiwa 'cinta' yang terkenal menerusi lagu-lagu yang dinyanyikan sebelum ini seperti Kau Ilhamku dan Masih Aku Terasa, dia turut akan membawa peminat mengimbau semula kenangannya bersama kumpulan Gersang yang popular era 80an.

"Saya mengilhamkan lima lagu baru iaitu Air Mata, Tentang Cinta, Sendiri, Awan Berlalu Pergi dan duet bersama Datuk Khadijah Ibrahim iaitu Kita Cinta yang diterbitkan sendiri oleh saya.

"Selain itu, saya turut menyanyikan semula lagu Kau Ilhamku dan Masih Aku Terasa dengan susunan muzik yang diubah sebanyak 60 peratus berbanding lagu lama," jelasnya.

Katanya lagi: "Untuk menyanyikan lagu Masih Aku Terasa, saya terpaksa mengawal suara agar tidak lari daripada suara ketika saya menyanyikan lagu itu pada usia 18 tahun dulu."

Bersempena dengan kemunculan album ini, Sony Music akan menganjurkan peraduan 'Inspirasi Man Bai' di stesen radio yang akan ditetapkan pada bulan hadapan.

Pemenang bertuah akan memenangi hadiah sebuah gitar yang ditandatangani oleh penyanyi itu sendiri.

Selain itu, dia akan muncul dengan klip video dua buah lagu baharu daripada album itu yang masih dalam proses pembikinan.

Dia juga sedang popular dengan lagu duetnya bersama kumpulan Pop Shuvit berjudul Seperti Syurgamu yang dimuatkan dalam album kumpulan itu.

Mereka dijangka akan membuat persembahan bersama-sama di konsert MTV World Stage di i-City Shah Alam pada 24 Julai depan.

Bukan itu sahaja, dia turut merancang dengan anggota kumpulan Gersang untuk kembali aktif menghasilkan album baru yang turut menampilkan semula lagu lama yang menaikkan nama kumpulan itu.

Bapa kepada tiga orang anak iaitu Imran Fitri, 14, Luqman Hakim, 12, dan Sarah Aishah, 10, ini pernah menghasilkan dua album solo berjudul Man Bai dan Positif sekitar tahun 1995 dan 1999.

Dia yang turut popular dengan kumpulan Gersang menerusi lagu Suratan Takdir dan Bersama Suara Hati ini pernah berehat sementara dari industri akibat penyakit tonsil.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain