suria

Joanna Bessey Bergelut Mengarah ‘Dreamgirls’

Joanna (duduk, dua dari kiri) bersama-sama para pelakon muzikal Dreamgirls di Istana Budaya. - Foto RICKY LAI
Joanna (duduk, dua dari kiri) bersama-sama para pelakon muzikal Dreamgirls di Istana Budaya. - Foto RICKY LAI
Joanna (duduk, dua dari kiri) bersama-sama para pelakon muzikal Dreamgirls di Istana Budaya. - Foto RICKY LAI

PETALING JAYA: Nampak mudah apabila teater muzikal Dreamgirls : The Broadway Musical Sensation diadaptasi daripada naskhah muzikal berjudul sama dari Amerika, namun tidak bagi pengarah teaternya, Joanna Bessey yang terpaksa bergelut untuk mengarah teater ini.

Muzikal yang menampilkan pelakon dari Amerika Syarikat, Kris Coleman, pelakon tempatan seperti Tony Eusoff, Cheryl Samad, Azura Zainal, Ruzana Ibrahim dan Dafi ini bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 14 hingga 24 Julai ini.

“Saya terpaksa membuat ulang kaji tentang muzikal ini sendiri kerana tiada video rasmi yang menayangkan secara penuh tentang muzikal ini.

“Begitu juga dengan jadual pementasan yang semakin hampir membuatkan saya rasa berdebar kerana persembahan ini sangat besar dan pertama kali saya mengarah di Istana Budaya,” katanya yang mula merangka idea tentang pementasan muzikal ini sejak tahun lalu.

Tambahnya lagi: “Bukan senang untuk memastikan para pelakon mengekalkan keaslian dialek Amerika. Ini kerana kami tidak boleh mengubah dan perlu mengikut 100 peratus dari segi dialog, tarian dan lagu-lagu yang bakal dipentaskan nanti.”

Selain kemunculan Kris Coleman sebagai tarikan, ibu kepada seorang anak ini menganggap pemilihan lagu-lagu R&B popular era 80-an bakal menyentuh jiwa penonton turut menjadi kekuatan muzikal ini.

“Kami juga mementingkan elemen artistik lain seperti latar set dan teknik pencahayaan yang menggunakan lampu LED pada pentas yang direka oleh Loh Kok Man, kostum yang berlainan daripada muzikal asal serta koreografi daripada Michael Xavier Voon.

“Kami yakin peminat The Supremes, James Brown, Motown dan Diana Ross serta peminat muzikal di Istana Budaya pasti akan menonton muzikal ini.

“Begitu juga dengan peminat Beyonce Knowles kerana muzikal ini juga diambil berdasarkan filem Dreamgirls lakonan penyanyi itu,” ujarnya lagi.

Muzikal menampilkan 30 pelakon dan 15 pemuzik ini turut diadakan sempena kutipan amal untuk membantu pertubuhan-pertubuhan amal seperti Make-A-Wish-Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan The Safe Clinic.

Tiket dijual pada harga bermula RM43 hingga RM403 melalui www.airasiaredtix.com atau hubungi 03-87754666.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain