suria

Anggun Tidak Lupa Asal Usul

SELAMA 13 tahun penyanyi dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi menetap di Perancis dan membina nama sebagai seorang penyanyi di negara tersebut, tidak terlintas langsung di fikirannya untuk cuba menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) seperti yang cuba dilakukan segelintir penyanyi Asia lain.

Senang saja katanya, dia langsung tidak tertarik dengan negara yang disanjung ramai itu.

“Sungguh, tidak pernah ada American dream dalam kotak fikiran saya. Walaupun ada yang mengkritik bahawa saya sebenarnya belum cukup terkenal kerana gagal menembusi AS.

“Ini kerana apabila meninggalkan Indonesia, niat saya ialah mahu ke Eropah. Kalau tak, sudah lama saya tinggal di sana (AS).

“Di Eropah, kita boleh lihat pelbagai budaya dan boleh mempelajari macam-macam. Tetapi jika di AS, nak belajar apa? Rasanya mereka yang perlu belajar macam-macam perkara dengan kita,” katanya ketika ditemubual menerusi telefon dari Perancis.

Sesi berkenaan diatur oleh pihak Sony Music Malaysia.

Tambah Anggun, penghijrahannya ke Perancis juga menimbulkan pandangan skeptikal daripada segelintir orang bahawa dia semakin melupakan bangsa dan budaya asalnya.

Sehingga kini, ibu kepada Kirana Cipta Montana Sasmi yang berusia empat tahun itu dipertikaikan nilai-nilai ketimurannya.

“Pada pendapat saya tidak kiralah berada di mana-mana sekalipun, kita perlulah hidup sederhana dan normal.

“Saya berkomunikasi menggunakan bahasa Indonesia dengan anak saya kerana itu adalah nilai kekayaan yang ada dalam jati dirinya. Malah saya sering tekankan identiti kami bahawa ia tidak mungkin akan hilang walaupun kita tinggal jauh dari negara kelahiran asal,” ujarnya yang meminati kata-kata falsafah daripada Plato dan Socrates.

Terbaru, penyanyi itu muncul dengan kelahiran album terbaru berjudul Echoes yang memuatkan lagu-lagu dalam versi bahasa Inggeris dan Indonesia.

Menariknya, Echoes merupakan album pertama yang diterbitkan sendiri oleh Anggun di bawah labelnya, April Earth dan pertama kali menulis lirik dalam album tersebut.

“Album ini begitu dekat dengan jiwa saya dan ia mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan. Saya memandang setiap kehidupan ada gema yang tersendiri dan seiring dengan usia saya yang kini berumur 37 tahun, penghasilan lirik dan muzik yang dibawakan berbeza.

“Saya menulis lirik mengikut pengalaman sebagai seorang ibu dan wanita. Walaupun mengambil tempoh masa yang lama untuk menyiapkannya, saya berpuas hati dengan hasilnya,” kata Anggun.

Uniknya mengenai Echoes, album ini memainkan 100 peratus pembikinan tanpa menggunakan teknologi canggih sebaliknya lagu-lagunya itu dimainkan sepenuhnya oleh pemuzik orkestra.

“Jujur saya katakan, kos penerbitan album ini cukup mahal tetapi saya puas dengan hasilnya kerana inilah muzik yang saya inginkan.

“Dan saya tidak kisah jika muzik yang saya bawakan tidak mengikut trend atau kehendak pasaran,” katanya.

Dalam album tersebut, Anggun menampilkan sebanyak 12 lagu dengan tambahan trek bonus sebanyak lima buah lagu.

Antara lagu yang dimuatkan adalah Buy Me happiness, Hanyalah Cinta, Weapons, Yang Terlarang, Impossible, Eternal, Rollercoaster, My Addiction, A Stranger, Cold War, Year of Snake dan Silent Vow.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain