suria

Awi Rafael Ada Cara Elak ‘Jatuh’

RASANYA, baru awal tahun ini penyanyi Awi Rafael melangkah masuk ke bidang muzik tempatan dengan memperkenalkan single lagu pertamanya, Pulanglah.

Dalam masa empat bulan saja, namanya terus dikenali dan tanpa membuang masa, Awi keluar dengan single lagu seterusnya, Bila Ku Jatuh Cinta.

Bersyukur dengan permulaan kerjaya yang baik, Awi menganggap rezeki yang diterima itu berkat daripada kesabarannya menempuh dugaan sepanjang merantau di Australia selama setahun pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, selepas puas merantau di negara orang, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia pada hujung tahun lalu dan dengan bantuan Dimas (kumpulan Hujan), saya bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music.

“Kemudian, dalam jangka masa selama empat bulan, lagu Pulanglah mendapat tempat di kalangan peminat-peminat muzik tempatan. Tak sangka segala dugaan yang dilalui sebelum ini berubah sekelip mata tanpa sedar.

“Maklumlah, bila di negara orang, kehidupan lebih banyak susah daripada senang. Tetapi saya tidak kesal sebaliknya ia satu pengajaran dan pengalaman yang mematangkan diri sendiri,” tuturnya.

Walaupun popularitinya pantas berada di tangga atas, pasti terdapat pendapat skeptikal oleh segelintir orang iaitu jika seseorang itu cepat popular, maka cepatlah dia tersungkur.

Namun, penyanyi berusia 25 tahun ini menganggap perkara itu sebagai satu cabaran dan kemestiannya ialah mengekalkan kualiti muzik yang dihasilkan agar tidak mudah jatuh.

“Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan kerana semua ini adalah kuasa Tuhan. Tetapi tidak bermakna saya akan duduk selesa tanpa berbuat apa-apa.

“Tambah pula, saya berdiri dalam bidang ini tanpa perlu menyertai program realiti. Insya-Allah, saya akan pastikan, kedudukan saya selari dengan kerja yang saya buat dan akan melakukan yang terbaik,” tegas bekas vokalis kumpulan muzik Bumi Band ini.

10 soalan Awi Rafael

1. Kalau rumah bersepah?

Rumah mesti kemas. Rimas mata memandang kalau sepah.

2. Berapa kali putus cinta dan siapa nama kekasih terakhir?

Dah dua kali putus cinta sebelum merantau ke Australia. Biarlah rahsia namanya.

3. Pernah memasak?

Yes! Saya suka masak nasi ayam, nasi goreng dan semestinya mi segera. Makanan orang bujanglah katakan...

4. Pernah Menangis?

Manusia mana yang tak pernah menangis. Kali terakhir saya menangis ketika berjumpa dengan ibu pada minggu lalu. Selalu berjauhan membuatkan saya rindu sangat dengannya.

5. Sudah berapa kali Awi hilang telefon bimbit?

Alhamdulillah, belum pernah. Jangan lalai kawan-kawan!

6. Antara Inang, Zapin dan Keroncong, apa pilihan Awi?

Zapin. Dulu masa tinggal di Pontian, Johor, saya suka lihat orang kampung buat persembahan joget Zapin.

7. Awi berasa hebat apabila...

Saya rasa hebat apabila saya jatuh cinta.

8. Suka wanita kurus atau gemuk?

Suka wanita yang yakin dengan diri sendiri. Bak kata Bruno Mars, “Cause your amazing, just the way you are,”

9. Awi akan berkaki ayam apabila...

Sudah tentu berkaki ayam di rumah!

10. Pernah tidak mandi kerana terlewat untuk ke kelas, persembahan atau keluar bersama kekasih?

Hahahaha! Tak pernah! Paling teruk pun saya akan mandi kerbau!

Foto RAYMOND OOI Solekan: Nora Wahib, E-GO hair & Beauty Salon, KL Sentral (03-22741966)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain