suria

Bkay Nair Menari Untuk Hilang Tekanan

SEJAK membintangi filem Ratu The Movie arahan Profesor Madya A Razak Mohideen yang ditayangkan pada Mac lalu, wajah pelakon Tryambikay Vengades (Bkay Nair) semakin menjadi perhatian beberapa pengarah dan penerbit televisyen tempatan.

Dek kerana itu dia mendapat tawaran berlakon antaranya untuk drama bersiri Gerak Khas (Skop Production), Dewa Cinta (Grand Brilliance Sdn Bhd) dan Musim Kirana (RTM).

Walaupun pada mulanya dia menganggap agak sukar mendapat tempat dalam dunia perfileman dan drama Melayu, namun perasaan tersebut mula terhakis sedikit demi sedikit setelah melihat penerimaan tersebut.

Biarpun begitu, wanita yang hampir dua tahun melibatkan diri dalam industri seni ini tidak mudah berpuas hati dan selesa dengan apa yang dikecapnya. Sebaliknya dia akan terus berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita bergelar anak seni yang berjaya.

Segala pahit dan maung telah ditempuhinya sepanjang bertatih dalam industri ini, bagaimanapun dia tidak akan sekali-kali berpatah balik kepada asalnya.

Baginya, cabaran dan masalah yang dilalui itu sekurang-kurangnya memberikan pengalaman dan pengajaran baru kepadanya agar lebih cekal pada masa akan datang.

“Apabila cerita buruk tentang saya disebarkan, sudah pasti saya akan kecewa dan sedih. Saya juga mempunyai perasaan yang sama seperti orang lain dan sekuat mana pun diri ini berhadapan dengan cakap orang, hati saya tetap akan luluh.

“Tetapi biar apa pun berlaku, buat masa sekarang, saya tidak akan berputus asa dan nekad untuk berlakon,” katanya kepada OopStarz!.

Dia yang kini memilih untuk berlakon sepenuh masa bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap kariernya.

Bkay yang turut membintangi dua buah filem arahan A Razak Mohideen iaitu Bujang Terlajak dan Raya Tak Jadi ini akui tidak mahu bergantung kepada kecantikan semata-mata untuk bergelar seorang artis.

Bagaimanapun dia tidak menolak bahawa kecantikan perlu dititikberatkan oleh seseorang artis mahupun selebriti yang dikenali umum.

Berkongsi tentang amalan kecantikannya, Bkay hanya mengamalkan secara sederhana dan tidak terlalu terdesak untuk sentiasa nampak cantik.

Tarian ‘salsa’

Dalam banyak-banyak perkara yang diceritakan, OopStarz! seronok berkongsi tentang amalan tarian ‘salsa’ yang dilakukan setiap dua hingga tiga kali seminggu untuk gaya hidup sihat.

“Saya memilih menari tarian ‘salsa’ untuk mengeluarkan peluh dan menganggapnya seperti senaman. Saya mengambil masa 45 minit hingga satu jam setiap kali melakukannya.

“Selain itu, saya juga menjadikan tarian sebagai cara untuk mengurangkan tekanan kerana tarian sudah sebati dalam jiwa saya.

“Saya mula menari sejak usia lima tahun dan pernah menyertai pelbagai pertandingan tarian. Saya masih aktif menari sehingga sekarang di sebuah studio bersama-sama kawan,” katanya yang turut gemar membaca buku di waktu lapang.

Menariknya, bekas graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini pernah memasuki pertandingan tarian zapin ketika bersekolah di Kulai, Johor.

Berbelanja untuk cantik

Sewaktu di alam persekolahan, Bkay rajin mengamalkan petua tradisional di rumah. Setelah sibuk mengukuhkan kerjayanya kini, dia akui agak sukar untuk melakukan semua itu sendiri sebaliknya perlu menghabiskan masa di spa.

Menyentuh tentang petua tradisional dia kerap menampal muka dengan kisaran kacang hijau di campur dengan bijirin dan susu atau melakukan kaedah yang sama dengan menggunakan timun dan tomato yang dikisar halus.

Ia bertujuan untuk membolehkan kulit wajah kelihatan lembut secara semula jadi.

“Sekarang saya tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan rawatan sendiri di rumah. Kadangkala apabila pulang ke rumah, badan sudah penat, jadi saya hanya menggunakan masa terluang untuk ke spa dan salun.

“Saya memilih rawatan lulur dan mandi rempah untuk seluruh badan di spa setiap sekali dalam sebulan dan kerap mencuci rambut di salun kerana saya tidak melakukannya di rumah.

“Dalam sebulan, saya menganggarkan RM1,000 akan dikeluarkan apabila berbelanja. Wang itu termasuk membeli produk kosmetik yang kadangkala boleh digunakan dalam beberapa bulan.

“Apabila ke spa dan salun, saya memilih rawatan berpakej dan mendapat diskaun. Jadi, saya rasa berbaloi juga untuk berbelanja lebih asalkan diri sentiasa cantik, segar dan bersih,” ujarnya.

Selain itu, dia mengamalkan pemakanan sihat seperti makan yogurt, buah-buahan, minum tujuh gelas air putih setiap hari dan mengelakkan minuman berkarbonat.

Beralih kepada produk kosmetik, wanita berasal dari Johor ini mengekalkan penggunaan produk New York Skin Solution sejak lebih setahun lalu.

“Saya mempunyai kulit yang sensitif dan kering. Jika saya tersalah menggunakan produk, kulit muka saya akan menjadi lebam dan kemerah-merahan.

“Apabila menggunakan kosmetik, saya perlu cepat-cepat membersihkan muka. Biarpun kulit saya tidak mempunyai masalah dengan jerawat, tetapi saya risau akan keluar bintik pada muka,” ujarnya.

Untuk mengelakkan kulit menjadi kering, Bkay turut membawa krim tangan dan pelembap kulit Vaseline dalam beg tangannya setiap masa untuk disapukan pada bibir, siku dan tangan yang digunakan sejak di bangku sekolah lagi.

Foto RAYMOND OOI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain