suria

Zul Huzaimy Ganti Fizz Fairuz Dalam 'Bahaman'

KUALA LUMPUR: Setelah pelakon Fizz Fairuz menolak untuk berlakon teater muzikal Bahaman, watak utama itu terpaksa diambil alih oleh pelakon Zul Huzaimy.

Pengarahnya, Rahman Adam akui sedikit kecewa kerana gagal mengambil Fizz berlakon sebagai Bahaman pada teater yang dipentaskan pada 12 hingga 18 Januari 2012 di Istana Budaya.

"Kalau boleh saya nak Fizz Fairuz yang berasal dari Pahang untuk melakonkan watak Bahaman.

"Tetapi disebabkan dia mempunyai komitmen dengan teater Badai Semalam jadi Fizz terpaksa menolak tawaran itu. Jadi, kami memilih Zul Huzaimy yang dirasakan layak memegang watak berkenaan," kata Rahman sewaktu sidang media di Restoran Bora Asmara, Sungai Penchala, di sini, Selasa.

Antara pelakon lain yang turut berlakon adalah Datuk Rahim Razali sebagai Imam Noh, Datuk Baharuddin Omar (Bilal), Almy Nadia (Wan Rohani), Radhi Khalid (Tok Ku Paloh), Geofrey Perrin Williams (Hugh Clifford), Julia Ziegler (Putih) dan Fida Ibrahim (Siti Anom).

Bagi menguatkan kefahamannya tentang Bahaman , Rahman terpaksa berulang-alik 12 kali ke Pahang untuk membuat kajian tentang tokoh berasal dari negeri itu.

"Dalam saya menjalan kajian itu, ada yang kata Bahaman meninggal dunia di Pahang dan ada juga yang mengatakan di Chiang Mai, Thailand.

"Tetapi setelah seorang rakan wartawan saya, Mokhtar yang membuat kajian perkara itu di Chiang Mai mendapati beliau sebenarnya meninggal dunia di daerah itu dan terdapat nama beliau di sebuah sekolah di sana," ujarnya yang akan merakam gambar tentang bukti tersebut untuk dipaparkan dalam teater ini.

Sementara itu, teater muzikal ini masih mengekalkan fakta sejarah tokoh tersebut walaupun menggunakan elemen percintaan sebagai tarikan.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, selaku penerbit teater ini, beliau akan memastikan setiap babak yang dipentaskan tentang Bahaman tidak bercanggah dengan fakta asal.

"Kami akan memaparkan sedikit cerita rekaan melibatkan budaya, kisah cinta Bahaman dan Wan Rohani, pantang-larang, pakaian dan unsur agama.

"Namun fakta sebenar cerita tentang Bahaman masih tidak berganjak," kata beliau.

Menyentuh tentang tenaga kreatif lain, komposer terkenal Datuk Suhaimi (Pak Ngah) dipilih untuk menggubah lagu genre irama Malaysia lebih ke arah tradisional Pahang seperti nazam dan syair manakala koreografer Mohd Zulfarqar (Belalang) untuk tarian.

Teater yang dianggarkan membelanjakan RM1.8 juta itu akan menggunakan muzik orkestra dan kostum kurun ke-18 direka oleh pereka fesyen dari Universiti LimKokWing.

Muzikal Bahaman turut mendapat kerjasama daripada Antara Teroka Sdn Bhd dan menjalani latihan bermula Oktober ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain