suria

Johan As’ari Simpan Syiling Pemberian Ustaz

BERCERITA dengan pelakon Johan Arrif As’ari, 25, (gambar) atau lebih dikenali dengan panggilan Botak, pemuda ini sebenarnya tidak senakal seperti yang digambarkan dalam drama bersiri Juvana di TV3 yang telah melabuhkan tirainya pada 18 Julai lalu.

Johan yang memegang watak itu cukup nakal kerana sanggup membuli pelajar-pelajar lain di sekolah pemulihan akhlak, Wira Bakti.

Apabila mendekati pemuda ini dia seorang yang ramah dan berterus terang. Watak dalam drama jauh berbeza dengan sikapnya yang sebenar.

Johan pernah belajar di sekolah pondok Pesantren As-Syuhada, Jambi, Indonesia selama setahun ketika berusia 20 tahun.

Di situ, dia melalui rutin hidup yang berdisiplin dan penuh dengan aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah, mendengar kuliah agama dan menghafaz ayat al-Quran.

“Dalam tempoh setahun, kawan-kawan saya berjaya menghafaz lebih daripada satu juzuk tetapi saya mampu untuk satu juzuk sahaja. Saya tidak tahu di mana kekurangannya tetapi saya seronok belajar di situ bersama-sama lapan orang kawan yang lebih muda daripada saya.

“Walaupun tidak lagi belajar di situ, saya tetap meneruskan aktiviti seperti mengaji di rumah. Apabila terpandang jubah pemberian ayah serta syiling yang dihadiahkan oleh Imam Masjid As-Syuhada di Jambi, semua kenangan silam di sana pasti mengusik minda saya,” katanya kepada OopStarz!.

Demi minatnya yang mendalam terhadap lakonan, anak kedua daripada empat beradik ini sanggup menangguhkan pengajiannya peringkat diploma dalam bidang kaunseling di Kolej Universiti Islam, Melaka (KUIM).

“Saya lebih meminati bidang lakonan berbanding kaunseling. Jadi, saya nekad untuk menumpukan kepada dunia lakonan dan akan berusaha bersungguh-sungguh dalam melakonkan setiap watak yang diberikan.

“Pengalaman manis yang saya timba sepanjang berlakon Juvana adalah apabila dapat bekerja di bawah kumpulan produksi yang bagus di mana pengarah Faisal Ishak, pengarah fotografi, penyunting dan pelakon yang membuat kerja dengan baik.

“Semuanya memberikan kerjasama masing-masing dan tidak meninggalkan kerja separuh jalan. Lihat sahajalah hasil drama itu,” ujar anak kepada Datuk As’ari Ibrahim, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya.

Selain kenangan berlakon Juvana, Johan turut berkongsi tentang barangan yang memberikan nilai sentimental kepada dirinya seperti lilin tangan berbentuk love, alat senaman tangan, hadiah peminat, gitar dan beg.

Cincin

Cincin ini dipakai sewaktu Johan berjauhan dengan keluarga ketika belajar agama Islam di sekolah pondok di Jambi. Cincin pemberian ayahnya itu mengingatkan dia supaya memberi tumpuan terhadap pelajaran agama yang dipelajarinya.

Lilin tangan love

Lilin ini dibuat oleh Johan menggunakan tangannya sebagai acuan sejak setahun lalu. Dia meletak lilin ini dalam biliknya dan apabila terpandang lilin itu membuatkan dia lebih mencintai diri sendiri. Jika mempunyai pasangan istimewa kelak, Johan berhasrat untuk menghadiahkannya kepada wanita itu.

Al-Quran dan jubah

Dalam banyak-banyak barang, jubah pemberian bapanya ini paling berharga buat Johan. Sebelum ini, dia mempunyai dua helai jubah tetapi jubah yang satu lagi telah dijual untuk lelongan amal program Bersamamu di Karnival Jom Heboh dengan harga RM100. Kini tinggal jubah yang ini sahaja sebagai kenangan sewaktu dia belajar di Pesantren As-Syuhada, Jambi. Jika rindu dengan perjuangannya sebagai seorang hafiz yang tidak kesampaian, dia akan memakai jubah itu apabila solat di masjid.

Alat senaman tangan

Alat ini diberikan oleh adik Johan dan ia digunakan selepas dia mendapat tawaran sebagai Botak dalam Juvana. Sepanjang menjalani penggambaran drama itu sehingga sekarang, Johan tidak jemu melakukan senaman tangan sebanyak 100 kali sehari kerana aktiviti itu bagus untuk melancarkan pernafasannya.

Topi

Johan sanggup membeli topi itu semata-mata untuk menjayakan sesi fotografi dengan pelakon Indonesia, Olivia Jensen Lubis untuk filem Gerimis Mengundang di Indonesia. Bagaimanapun, hasratnya untuk berlakon filem itu tidak kesampaian dan menganggap tiada rezeki untuk berlakon di samping heroin jelita itu.

Baju T dan poster Juvana

Barangan ini memberi nilai sentimental yang tinggi buat Johan terutama baju T itu yang dipakainya sepanjang penggambaran Juvana. Di akhir penggambaran, dia mengambil tandatangan semua pelakon dan kru yang bekerjasama dalam drama itu. Begitu juga dengan poster tersebut apabila dia turut meminta pelakon menurunkan tandatangan mereka untuk dijadikan kenangan. Katanya, dia berhasrat untuk membingkaikan kedua-dua barangan berkenaan.

Hadiah peminat

Johan bersyukur kerana lakonannya sebagai Botak disukai peminat dan dia akan menghargai setiap hadiah yang diberikan oleh mereka. Ada peminat berasal dari Negeri Sembilan dan belajar di luar negara yang memberikan surat dan gambar yang dirakamkan bersama-sama sewaktu mereka bertemu di Karnival Jom Heboh. Menariknya, lelaki itu yang mengambil jurusan perfileman bercadang menjadikan drama Juvana untuk dilakukan kajian. Sementara itu, hadiah cermin mata dan rantai kunci diberikan oleh seorang peminat wanita dari Sarawak. Menurutnya, peminat setia itu sanggup menunggunya dari awal pagi sehingga program itu berakhir di gerai cereka Karnival Jom Heboh di Kuching, Sarawak.

Jam tangan

Jam ini dihadiahkan oleh ibunya tiga bulan lalu. Ia membantu Johan untuk sentiasa bersedia dengan masa terutamanya untuk ke lokasi penggambaran. Sebelum mendapat jam ini, dia banyak bergantung kepada jam pada telefon bimbit.

Syiling 500 rupiah

Syiling ini juga memberikan nilai sentimental yang kuat kepada Johan. Syiling ini dihadiahkan oleh Imam Masjid As-Syuhada, Jambi iaitu imam yang mengajarnya sewaktu di sekolah pondok dahulu. Dia mendapat syiling itu setelah pulang ke negara ini dan disampaikan oleh rakan seperjuangannya. Imam itu berpesan supaya Johan menyimpan dan menjaga syiling itu dengan baik. Walaupun nilainya tidak sampai pun 50 sen, tetapi syiling itu sukar untuk ditemui pada masa sekarang memandangkan warna syiling yang baru sudah bertukar kepada perak.

Gitar

Gitar ini merupakan milik kakak sulungnya, Farah Alya yang juga merupakan seorang pelakon. Menurut Johan, dia mempunyai bakat bermain gitar dan piano serta boleh menyanyi sekadar suka-suka. Menariknya, gitar ini dihadiahkan kepada kakaknya oleh pelawak terkenal tanah air. Walaupun begitu, kakaknya tidak kisah untuk meminjamkan gitar itu kepada Johan dan dia akan meminta kebenaran jika ingin menggunakan gitarnya.

Beg

Beg ini dibeli bersama-sama pelakon Dira Abu Zahar sewaktu mereka membeli-belah ketika menjayakan Karnival Jom Heboh di Sarawak. Waktu itu, dia tidak menyangka Dira akan mengikutnya dan pelakon Zahiril Adzim keluar membeli-belah. Disebabkan teruja dapat berjalan-jalan dengan Dira yang diminatinya itu, Johan sanggup membeli beg yang sama dibeli oleh wanita itu.

Foto SAUFI NADZRI (Pelatih Kolej Segi)

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berikut

Artikel Lain