suria

Sharnaaz Sedar Selepas ‘Ditindas’

TAHUN 2011 pastinya menjadi tahun keramat buat pelakon Sharnaaz Ahmad (gambar) yang masih baru setahun jagung dalam industri seni.

Dia yang pada mulanya agak naif tentang ‘sepak terajang’ dalam industri ini bagaikan baru tersentak daripada lamunan. Sudah menjadi lumrah, jiwa muda sepertinya pasti memberontak apabila ditindas.

Alkisahnya apabila sebuah syarikat produksi tiba-tiba membatalkan tawaran berlakon kepadanya tanpa sebab ketika dia sudah menolak tawaran daripada pihak lain.

Biarpun segala onak duri dan kekecewaan telah dilalui, pemuda berusia 26 tahun ini tetap berpaksikan kepada nilai kesabaran dan memaafkan insan melakukan perkara itu kepadanya.

Lantaran itu, daripada berlaku kekecohan atau perkara yang tidak baik, Sharnaaz terlebih dahulu mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan menghabiskan masanya di gimnasium untuk meningkatkan stamina sebagai persediaan filem terbarunya, Azazil.

Filem arahan Kabir Bhatia yang akan memasuki penggambaran bermula 25 Julai ini turut dilakonkan oleh Remy Ishak, Diana Danielle, Umie Aida dan Dira Abu Zahar.

“Setelah sebulan saya tidak berlakon, kini saya kembali ke lokasi penggambaran untuk melakonkan watak antagonis bernama Atan.

“Dia seorang yang suka berjuang dengan niat mahu menyelamatkan kampung halamannya.

“Berlainan dengan pasangannya yang dilakonkan oleh Remy Ishak, seorang pemuda yang baik dan berbudi bahasa yang lebih mendapat sokongan untuk diangkat sebagai jaguh kampung.

“Sedangkan Atan yang penuh dengan sikap cemburu ingin menjadi ketua kerana beranggapan dia lebih kuat daripada lelaki itu,” cerita Sharnaaz serba-sedikit mengenai Azazil.

Filem genre aksi ini bakal mengeluarkan Sharnaaz daripada kepompong genre seram yang lebih banyak dilakonkan sebelum ini.

Seperti yang diketahui, pemuda berasal dari Pulau Pinang ini dikenali menerusi drama Kum Kum dan Pontianak Kampung Batu yang disiarkan di Astro.

“Saya terima tawaran ini kerana saya kurang berlakon filem selepas terlibat dalam filem Seru.

“Selain daripada itu, saya mahu luaskan lagi skop lakonan saya yang sebelum ini lebih banyak melakonkan cerita seram.

“Saya tidak tahu bagaimana corak permainan Kabir untuk membikin filem aksi ini tetapi harapan saya semoga ia menjadi seakan-akan filem Apokalips kerana gaya aksinya agak menarik,” katanya.

Memanjangkan cerita tentang Azazil, pelakon drama Tari Tirana dan Dottie ini difahamkan latar masa cerita tersebut sekitar zaman pemerintahan Jepun di mana penduduknya ketika itu adalah orang asli dan bertutur dalam bahasa Malaysia baku.

Bukan itu sahaja, sudah namanya aksi, pelakon yang pernah dicalonkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 2010 ini perlu melakonkan sedikit aksi pertarungan yang padanya tidak merumitkan.

“Walaupun saya mempunyai asas tinju, tetapi saya masih perlu berguru dan belajar tentang koreografi pertarungan,” tuturnya lagi.

Lantik pengurus

Sejak berhadapan dengan insiden ‘ditindas’ sepanjang dua bulan lalu sehingga dia dipulaukan oleh beberapa rakan dalam industri, Sharnaaz banyak belajar dan nekad untuk lebih berhati-hati dengan sikap manusia.

Bunyinya agak klise, namun itulah balasan pahit yang perlu dihadapinya akibat terlalu mempercayai orang dan gagal merancang persediaan lain.

“Sejak insiden itu, saya memilih untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan Groom Works yang lebih arif dalam urusan pembayaran.

“Niat saya ceburi industri ini disebabkan minat dalam lakonan dan bukannya sekadar suka-suka.

“Saya agak tertekan dan runsing sebelum ini apabila tiada kerja. Tetapi sekarang saya bersyukur dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Saya yakin Allah pasti akan menolong dan membuka rezeki kepada orang seperti saya. Saya akan terus bertahan dan terus kuatkan semangat untuk menghadapi setiap cabaran sebagai anak seni,” ujarnya yang dalam perancangan berurusan tentang tawaran sebuah filem lagi.

Sekilas …

Nama penuh: Sharnaaz Basir Ahmad

Tarikh lahir: 30 Ogos 1985

Umur: 26 tahun

Asal: Georgetown, Pulau Pinang

Drama: Tari Tirana, Dottie, Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Ungunya Cinta

Filem: Seru dan Azazil

Pencapaian: Tercalon sebagai Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular 2010

Foto SHAARI CHE MAT Pakaian LORD’S TAILOR

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berikut

Artikel Lain