suria

Ammar Alfian Jelaskan Isu Cekik, Pukul Puteri Sarah

PETALING JAYA: Pelakon Ammar Alfian Aziz (gambar) menjelaskan tidak mencekik dan memukul kekasihnya, Puteri Sarah seperti mana yang didakwa dalam sebuah akhbar harian, Rabu.

Menurut pelakon drama Dia Atilia ini, mereka tidak mengetahui langsung bagaimana isu tersebut boleh timbul sedangkan hubungan mereka masih berjalan dengan baik.

“Saya dan Sarah tidak tahu apa-apa sehinggalah seorang kawan menghubungi saya hari ini (Rabu) dan memberitahu cerita tentang saya mencekik Sarah seperti yang ditulis dalam surat khabar.

“Saya terkejut apabila mendengar berita buruk ini, padahal semalam (Selasa) saya dan Sarah tidak bergaduh sebaliknya kami masing-masing sibuk membuat persediaan ke Melbourne dan Sydney, Australia pada Isnin depan untuk bertemu adik Sarah yang belajar di sana.

“Jadi, cerita tentang saya mencekik dan memukul Sarah itu tidak betul sama sekali,” kata Ammar kepada mStar Online menerusi lambang sembang Facebook miliknya berhubung perkara itu di sini, Rabu.

Dia diminta mengulas kenyataan sebuah akhbar yang memetik sumber polis kononnya seorang pelakon lelaki telah menumbuk dan mencekik serta mengugut untuk membunuh kekasihnya di sebuah kondominium di Damansara dekat sini.

Laporan itu turut mendedahkan pelakon lelaki berkenaan dikatakan berang apabila kekasihnya yang juga pelakon wanita popular mendapati dia berlaku curang apabila berdua-duaan dengan wanita lain ketika datang untuk membuat kejutan di kondominium terbabit.

Ammar yang pernah membuat kontroversi mahu “membunuh” wartawan sebelum ini mengetahui laporan berkenaan ditujukan kepadanya walaupun tidak menyebut nama artis.

Tambahnya: “Sarah ada memberitahu saya bahawa wartawan ada menghubunginya dan bertanyakan tentang laporan polis berhubung kes saya memukul dan mencekiknya.

“Namun, dia menafikan perkara itu. Tetapi saya pelik juga apabila cerita seperti ini tersebar walaupun tidak betul.

“Apabila difikirkan semula, saya pernah terlibat dengan kontroversi sebelum ini dan harus belajar daripada kesilapan. Kalau dulu saya melawan tetapi tiada gunanya, jadi lebih baik saya diamkan diri sekarang walaupun perkara tersebut tidak betul.”

Selain itu, dia lebih gemar menyibukkan diri dengan latihan untuk mempersiapkan diri berlakon filem berjudul Skandal.

“Saya terpaksa menjaga badan dengan mengurangkan makan nasi kerana mungkin ada aksi melompat dan bertarung.

“Selain itu, banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan agar dapat mengurangkan berat badan bagi mendapat badan yang lebih ringan untuk melakukan aksi tersebut,” ceritanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain