suria

Ana Raffali Mahu Pelajar Sekolah Gemar Membaca

PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali, 26, (gambar) berhasrat untuk meneruskan projek ‘Sayang Buku’ bagi menggalakkan pelajar sekolah seluruh negara menanam minat suka membaca.

Projek ini dianjurkan menerusi syarikatnya, About The Letter A Sdn Bhd dengan kerjasama syarikat penerbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd pada Julai lalu.

“Saya sedang berusaha untuk menggalakkan pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah agar suka membaca buku. Saya akan meneruskan projek ini secara menyeluruh di sekolah-sekolah negara ini dengan membuka satu dana khas agar orang lain juga dapat memberikan sumbangan.

“Jadi, saya merasakan idea memberi sumbangan buku baru dapat memberi semangat kepada mereka untuk membaca,” katanya kepada mStar Online.

Dengan menggunakan “tagline” ‘Baca Selalu, Sayang Buku’, Ana yakin para pelajar akan menjadikan aktiviti membaca sebagai amalan harian.

“Saya rasa sebak apabila para pelajar di Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara, Puchong melaungkan tagline ‘Baca Selalu, Sayang Buku’ beramai-ramai.

“Saya perhatikan mereka teruja apabila mendapat buku baru kerana saya juga lebih suka membaca buku yang baru. Saya rasa kaedah ini merupakan satu cara untuk menggalakkan mereka membaca,” kata Ana lagi.

Beralih kepada karier seni, Ana merancang untuk melakukan kolaborasi dengan beberapa penyanyi lelaki dan wanita untuk lagu terbarunya akan datang.

Bagaimanapun dia enggan memberitahu nama penyanyi itu kerana masih belum mendapat persetujuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adele Nyanyikan Lagu James Bond 23

Artikel Lain