suria

Amanda Imani “Buang Masa” Kerana Rambut

WALAUPUN baru sahaja berusia 20 tahun, penyanyi Amanda Imani sudah pun mencatat kejayaan yang tersendiri apabila dia berjaya membawa pulang dua anugerah bagi kategori Lagu Asal Terbaik dan Penyanyi Baru Terbaik pada pertandingan 20th International Pop Music Festival Discovery 2011 di Varna, Bulgaria, Mei lalu.

Kejayaan Amanda memberikan ruang luas buatnya untuk mengembangkan kerjaya sebagai seorang penyanyi dan justeru itu pada usia remaja, dia sudah mampu membiayai kos kehidupan sendiri tanpa bantuan keluarga.

Bagaimanapun, kata Amanda, ini tidak bermakna dia perlu boros dalam setiap apa yang ingin dibelanjakan.

“Walaupun mempunyai duit poket sendiri, tidak bermakna saya akan menghabiskan wang dengan memiliki barangan yang tidak berfaedah. Tetapi saya akan membeli barangan yang berjenama jika ia benar-benar diperlukan.

“Lihatlah koleksi-koleksi kesayangan saya ini, tidak semua barangan saya adalah berjenama. Cuma saya gemar membeli sesuatu yang boleh memberi kenangan manis buat diri sendiri,” katanya.

Tas tangan jenama Channel

Merah jambu merupakan warna kegemaran Amanda. Justeru itu, beg ini akan digayakan pada acara karpet merah atau majlis-majlis hiburan tertentu.

Kasut tumit tinggi

Walaupun memiliki tubuh badan yang tinggi, Amanda tetap gemar menggayakan kasut bertumit tinggi yang dibeli dari negara Sepanyol. Kata Amanda, kasut tersebut sudah pun berusia empat tahun dan ia masih lagi selesa digunakan.

Topi

Kata Amanda, di rumahnya sahaja, dia mempunyai koleksi lebih daripada 10 buah topi dengan reka bentuk dan warna yang berbeza. Baginya, dia berasa seperti tidak lengkap keluar rumah tanpa bergaya dengan topinya itu.

Penggulung rambut

Rambut adalah aset buat penyanyi jelita ini dan kerana itu penggulung rambut menjadi teman setianya di bilik. Hampir setiap hari Amanda sanggup “membuang” masanya di depan cermin untuk menggulung rambutnya agar kelihatan ikal mayang.

Pengilat kuku

Tidak lengkap buat Amanda jika ke luar negara tanpa membeli pengilat kuku. “Saya suka warna-warna terang pada kuku saya ini dan antara jenama pengilat kuku yang menarik minat saya ialah Bonny M,” katanya.

Rantai nama

Rantai yang tertulis nama “Amanda” ini telah dibuat ketika dia berusia 14 tahun lagi. Walaupun harganya murah, tetapi kenangan rantai ini begitu besar buatnya.

Jam tangan

Kalau nak tahu, selepas membeli kereta Myvi berwarna merah jambu, jam jenama Channel adalah barangan kedua termahal yang pernah dibeli oleh Amanda. Baginya dia tidak kisah jika membeli jam yang sedikit mahal kerana pemakaian jam adalah amat penting dalam kehidupan sehariannya.

Gelang tangan

Gelang tangan jenama House of Harlow daripada Nicole Ritchie berharga RM360 ini telah dibeli secara dalam talian. Kata Amanda ia menjadi kesayangannya kerana gelang tersebut memiliki nilai klasik yang tersendiri.

Rantai kunci

Sekali pandang, nampak seperti rantai tangan tetapi ia merupakan sebuah rantai kunci. Kata Amanda, rantai kunci tersebut menarik perhatiannya kerana ia berbentuk kuda di mana dia begitu meminati sukan kuda.

Minyak wangi

Amanda mempunyai pelbagai koleksi barangan jenama Juicy Couture kerana menyukai reka bentuknya yang feminin dan urban. Minyak wangi ini pula sentiasa berada di dalam beg tangannya untuk kegunaan pada bila-bila masa.

Pelembap kulit

Begitu juga dengan pelembap kulit jenama Saphora, ia turut disimpan di dalam beg tangannya. Kata Amanda, ia sesuai dipakai selepas membersihkan solekan pada wajah untuk tampak lebih segar.

Foto SAUFI NADZRI Solekan VEE XENDDRA (Menggunakan 4u2 Cosmetics)

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain