suria

AIM-18 : Aizat Ungguli Enam Pencalonan

Semua artis yang tercalon pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 18 bergambar pada selepas sidang media pengumuman pencalonan senarai pendek di sini pada Rabu.
Semua artis yang tercalon pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 18 bergambar pada selepas sidang media pengumuman pencalonan senarai pendek di sini pada Rabu.
Semua artis yang tercalon pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 18 bergambar pada selepas sidang media pengumuman pencalonan senarai pendek di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aizat mengungguli enam pencalonan bagi enam kategori termasuk Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM-18) yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 12 November depan pukul 8.30 malam.

Aizat yang mendominasi hampir kesemua kategori utama menerusi album 'Utusan Aizat' dicalonkan bagi kategori Kulit Album Terbaik (Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd), Rakaman Album Terbaik (Pereka Keith Yong dan Nick Lee), Video Muzik Terbaik (Ahmad Farish) menerusi lagu 'Susun Silang Kata', Lagu Pop Terbaik (Sungai Lui), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Years From Now) dan Album Terbaik (Kasi Gegar Entertainment).

Menyusuli Aizat adalah penyanyi Ning Baizura dengan lima pencalonan menerusi album terbarunya 'Dewa' dan album duet bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah, menerusi album 'Tiga Suara’.

Dalam pada itu, Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Yuna, Najwa Mahiaddin, masing-masing mendapat empat pencalonan pada anugerah tersebut.

Sheila ketika ditemui selepas sidang media nyata terkejut dengan empat pencalonan diterimanya dan menyifatkan pencalonan itu sebagai rezeki.

"Saya muncul dengan album 'The Malaysia Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid' adalah untuk peminat yang tidak dapat hadir pada konsert tersebut dan tidak pernah mengimpikan sebarang anugerah," ujarnya.

Menerima pencalonan dalam kategori Album Terbaik, Sheila turut dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu 'Dengarkanlah' dan dua pencalonan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu untuk lagu 'Jeritan Batinku’ dan ‘Ku Mohon’.

Sementara itu, untuk kategori Artis Baru Terbaik, antara nama yang tercalon adalah James Baum, Kyoto Protocol, Project Pistol, Reza Salleh dan Najwa Mahiaddin.

Najwa turut bertanding di dalam Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu 'How Long Must I Wait' bersama-sama Anita Sarawak (Asmara), Jaclyn Victor (Noel), dan Yuna (Penakut dan Gelora Jiwa).

Selain itu, Najwa turut mendapat dua pencalonan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di samping penyanyi Reza Salleh yang turut mendapat dua pencalonan dalam kategori sama.

Penyanyi Anuar Zain dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu 'Sedetik Lebih' bersama-sama lagu 'Beribu Sesalan' (Jaclyn Victor, Ning Baizura, shila Amzah), dan 'Penakut' (Yuna).

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM-18, Rosmin Hashim pada Rabu.

Rosmin dalam ucapannya berkata, AIM-18 kali ini tampil dengan banyak perubahan ekoran pertambahan penghasilan lagu berbanding album dan antara perubahan tersebut termasuk pengurangan 10 kategori menjadikan AIM tampil dengan 18 kategori selain tidak membenarkan karya pemuzik luar.

Panel juga sebulat suara untuk memansuhkan kategori Lagu Hip Hop Terbaik kerana kekurangan penyertaan yang menepati kriteria membawa kepada pengurangan jumlah keseluruhan kategori dari 19 kepada 18.

Katanya lagi, Pengarah Muzik, Datuk Ramli MS akan meneruskan peranannya sebagai ketua juri dalam penghakiman bagi menentukan penerima yang layak pada anugerah itu nanti.

Rosmin turut memberitahu nama-nama juri yang akan terlibat dalam penghakiman kesemua pencalonan AIM18 akan disiarkan bagi pengetahuan umum.

Katanya, AIM-18 tahun ini turut memperkenalkan anugerah khas oleh Celcom iaitu Artis Mobile Terbaik bagi mempertingkatkan pemasaran muat turun lagu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, pemilihan penerima anugerah akan berdasarkan muat turun lagu paling tinggi termasuk pembaharuan dalam 'Call Me Tones’.

Selain itu, Celcom juga menawarkan kepada para pelanggan untuk diraikan bersama-sama artis kegemaran mereka dan mendapat layanan setaraf VIP semasa AIM18 menerusi promosi “Be A Star at AIM 18”.

Dalam pada itu, Astro selaku penyiar dan rakan media rasmi AIM18 akan menganjurkan persembahan untuk mempromosikan anugerah ini selain menyiarkan upacara karpet merah dan ucapan pemenang di majlis “post party”.

Karya yang layak menyertai pertandingan ini ialah bagi tempoh penghasilan bermula 1 Januari 2010 hingga 30 Jun 2011.

Berikut adalah antara pencalonan AIM18:

Artis Baru Terbaik

1. James Baum

2. Kyoto Protocol

3. Najwa

4. Project Pistol

5. Reza Salleh

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)

1. Anuar Zain - Sedetik Lebih

2. Azlan & The Typewriter - Jeritan Batinku

3. Black - Sofea Jane

4. Reza Salleh - What The Hell Just Happened I'm Not Really Sure

5. Tam Spider - Kita Satu

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)

1. Anita Sarawak - Asmara

2. Jaclyn Victor - Noel

3. Najwa - How Long Must I Wait

4. Yuna - Penakut

5. Yuna - Gelora Jiwa

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu

1. Ning Baizura, Jacyln Victor, Shila Amzah - Beribu Sesalan

2. API - Pelita

3. Caipifruta - Menceceh Bujang Lapuk

4. Dayang Nurfaizah & Marcell - Sayang

5. In-team - Salamum Salam 2

Lagu Rock Terbaik

1. Lagu: Pelita Komposer: Loque Artis: API

2. Lagu: Ekstravangsa Komposer: Sam Bunkface Artis: Bunkface

3. Lagu: Pokok Komposer: Taja Artis: Meet Uncle Hussain Feat Hazama

4. Lagu: Wanita Seluruh Dunia Komposer: Boy Clifford Artis: Project Pistol

5. Lagu: Kitasatu Komposer: Tam Artis: Spider

Lagu Pop Terbaik

1. Lagu: Beribu Sesalan Komposer: Kevin Chin Artis: Ning Baizura, Jacyln Victor, Shila Amzah

2. Lagu: Sungai Lui Komposer: Aizat dan Anaz Artis: Aizat

3. Lagu: Sedetik Lebih Komposer: Edry Abdul Halim Artis: Anuar Zain

4. Lagu: Dengarkanlah Komposer: Acis Artis: Sheila Majid

5. Lagu: Penakut Komposer: Yuna Zarai Artis: Yuna

Album Terbaik

1. Album: 3 Suara Artis: Ning Baizura, Jacyln Victor, Shila Amzah

2. Album: Urusan Aizat Amdan Artis: Aizat Amdan

3. Album: Sayang dan Cahaya Artis: Dayang Nurfaizah

4. Album: Dewa Artis: Ning Baizura

5. Album: The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid Artis: Sheila Majid.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain