suria

GBSB Kecewa Tuntutan Keterlaluan Rozita Che Wan

Rozita Che Wan
Rozita Che Wan
Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) akan mempertimbangkan segala tawaran berlakon terbitan syarikat itu terhadap aktres Rozita Che Wan,38, yang dikatakan mula meletakkan bayaran “tidak masuk akal”.

Ketua Produksi Drama & Filem, Primeworks Studios, Jalena Rejab berkata, pihaknya terkejut apabila Rozita menolak tawaran membintangi sebuah drama bersiri Goyang Syafiq... Jom Pi Cuti musim kedua yang telah dipersetujui selepas tidak berpuas hati dengan bayaran yang ditawarkan.

“Sebelum Rozita berangkat mengerjakan umrah pada Ramadan lalu, dia telah bersetuju untuk membintangi drama bersiri 13 episod terbitan GBSB termasuklah meminta pihak produksi mematuhi segala jadual penggambarannya.

“Sayang sekali selepas dia pulang mengerjakan umrah pada pertengahan bulan Ogos lalu, dia menolak tawaran yang diberikan dengan alasan bayaran yang diberikan tidak setimpal,” katanya.

Jelas Jalena, menjadi amalan bagi semua syarikat produksi di negara ini memberi bayaran di antara RM1,500 sehingga RM2,000 bagi setiap satu episod untuk artis “senior” seperti Rozita tetapi malang sekali pelakon itu telah menuntut bayaran yang berlebihan.

Katanya, Rozita minta dibayar sebanyak RM3,000 bagi setiap satu episod untuk drama berkenaan yang mana jumlahnya dilihat agak keterlaluan.

“Terus terang saya katakan, pelakon Fasha Sandha pun tidak pernah meminta bayaran seperti itu. Kami amat terkejut dengan tindakan sedemikian. Malah Rozita turut memberi kata dua, jika mahu mengambilnya berlakon, pihak kami hendaklah memenuhi impiannya tetapi jika tidak, dia enggan terlibat dalam drama berkenaan,” ujar Jalena.

Katanya, penggambaran drama yang dilakukan bermula Ramadan lalu itu menjadi kelam kabut disebabkan pihak produksi telah mengubah lokasi penggambaran kerana mahu mengikut jadual Rozita.

Sayang sekali jelasnya selepas pulang dari Mekah, Rozita menukar pendiriannya dan tidak bersetuju untuk berlakon drama itu kerana wang.

Ujarnya, walaupun Rozita berhak menentukan sesuatu bayaran, pelakon itu perlulah menuntut satu jumlah yang logik bersesuaian dengan landskap penerbitan drama di negara ini.

Ditanya adakah pihak GBSB yang juga syarikat milik Media Prima Berhad itu akan mengharamkan Rozita untuk terlibat dalam drama terbitan syarikat itu pada masa akan datang, Jalena berkata ia bergantung kepada permintaan stesen televisyen di bawah syarikat berkenaan.

“Kalau stesen televisyen sanggup dengan bayaran RM3,000 satu episod seperti mana yang dituntut kita akan ambil dia berlakon tetapi saya tidak fikir keperluan untuk membayar sedemikian rupa,” katanya.

Tambahnya, tawaran untuk membintangi drama berkenaan diberikan kepada Rozita selepas memikirkan penglibatan pelakon itu bagi cerita serupa iaitu Diari Ramadan Rafique yang pernah disarikan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, pihak GBSB berjaya menggantikan Rozita dengan pelakon Sharifah Shahirah gara-gara masalah tersebut.

Sementara itu menurutnya penggambaran yang berlangsung pertengahan Ramadan lalu itu dijangka berakhir pada minggu hadapan melibatkan beberapa lokasi seperti Langkawi, Kedah dan ibu negara.

“Kami bersyukur walaupun masalah yang berlaku itu menyebabkan kerja-kerja penggambaran menjadi kelam kabut tetapi Goyang Syafiq... Jom Pi Cuti dapat dilaksanakan dengan baik selepas penglibatan Sharifah Shahirah,” katanya.

Menerusi mStar Online, Selasa, Rozita menafikan dakwaan mengatakan dia semakin “demand” selepas pulang mengerjakan umrah termasuklah meletakkan jumlah bayaran tinggi kepada mana-mana syarikat produksi yang mahu mengambilnya berlakon.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain