suria

Erra Fazira, Umie Aida Jadi Juri 'Pilih Kasih 3'

Erra Fazira
Erra Fazira
Erra Fazira

SUBANG JAYA: Pelakon popular, Erra Fazira dan Umie Aida dipilih menjadi juri untuk program realiti lakonan Pilih Kasih musim ketiga.

Penerbitnya Rosyam Nor berkata, pemilihan dua pelakon wanita itu adalah bagi memantapkan lagi program realiti tersebut di samping dapat berkongsi pengalaman luas mereka kepada peserta-peserta yang terpilih menyertai pertandingan itu.

“Saya mencari pembaharuan bagi memantapkan program ini dengan menampilkan dua pelakon yang cukup disegani dan berpengalaman dalam industri seni tanah air.

“Dengan adanya Erra Fazira dan Umie Aida dapat membantu saya membuat pemilihan dan secara tidak langsung mereka dapat menurunkan ilmu kepada pelakon-pelakon baru,” ujarnya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Pilih Kasih Musim Ketiga, di sini, Isnin.

Tambahnya, pemilihan kedua-dua pelakon tersebut juga selepas perbincangan yang dibuat dengan pihak penaja iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM) dan RTM.

“Pemilihan Erra dan Umie juga dilihat mampu memantapkan lagi program ini. Peranan mereka juga besar dalam memilih dan membentuk peserta menjadi seorang bintang. Mereka bukan hanya bertindak sebagai juri tetapi lebih kepada menurunkan ilmu lakonan kepada peserta-peserta,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengakui perjalanan kerjaya kedua-dua juara terdahulu agak perlahan, pencarian musim ini lebih tertumpu kepada rupa paras dan bakat seseorang peserta tersebut.

“Saya akui juara sebelum ini agak lambat memulakan perjalanan kerjaya mereka kerana ada watak-watak tertentu sahaja yang boleh mereka bawa.

“Oleh itu kali ini kami mencari peserta yang mempunyai pakej lengkap yang boleh membawa semua watak,” katanya.

Program ini bakal mengekalkan pengarah tersohor, Erma Fatima, Hamzah Tahir, Fauziah Nawi dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai tenaga pengajar.

Program yang diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini bakal memulakan uji bakat di beberapa lokasi bermula 22 dan 23 Oktober ini di The Summit, Batu Pahat, Johor disusuli Aeon Bukit Tinggi Klang, Selangor pada 29 dan 30 Oktober dan di SP Central Square Sungai Petani, Kedah pada 12 dan 13 November.

Ia turut diadakan di Central Point Palm Square, Sabah pada 26 dan 27 November, diikuti The Spring Kuching, Sarawak pada 3 dan 4 Disember dan berakhir di KL Sentral pada 10 dan 11 Disember depan.

Program Pilih Kasih 3 akan bersiaran bermula 20 November depan di saluran TV2, pada setiap Ahad, bermula pukul 9 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain