suria

Julia Ziegler Simpan Cincin Tunang Ibu

NAMA pelakon Julia Ziegler (gambar) bagaikan panas sejak kebelakangan ini disebabkan kontroversi dan perang mulut antara dia dan beberapa artis lain seperti Didie Alias, Sharifah Shahirah dan Sharifah Sakinah.

Namun sebenarnya, menurut pelakon ini, apa yang diinginkan bukanlah perbalahan tetapi untuk membersihkan namanya semula daripada sebarang fitnah yang dilemparkan.

Bagaimanapun, dia kini lebih senang membisu daripada menjawab apa juga persoalan tentang perkara tersebut dan menumpukan perhatian kepada kerjayanya sahaja.

Di sebalik diri pelakon filem Jangan Tegur ini, dia lebih gemar menghabiskan masa bersendirian membaca buku jika tidak bersama keluarga.

“Saya lebih suka menghabiskan masa terluang di Perpustakaan Negara untuk membaca buku daripada melepak dan membuang masa dengan rakan-rakan.

“Selain itu, dalam beg saya wajib ada bahan bacaan kerana sudah terbiasa diajar sejak kecil untuk tanamkan minat membaca,” katanya.

Bukan sahaja buku menjadi salah satu barang wajib, malah surah Yasin juga menjadi antara barangan yang sering dibawa kemana sahaja. Julia percaya, surah itu mampu menghalangnya daripada berhadapan dengan gangguan makhluk halus.

Minggu ini OopStarz! menerusi ruangan Zoom! menyelongkar barang-barang penting dalam hidup Julia. Mari kita baca.

Buku motivasi

Buku motivasi ini merupakan buku kesayangan Julia, katanya dia sudah lima kali tamat membaca buku tersebut. Selain itu, buku ini juga banyak memberi dia kekuatan dan inspirasi jika berada dalam keadaan tertekan.

Surah Yasin

Bagi Julia membawa surah Yasin ke mana sahaja adalah satu perkara wajib terutamanya ketika melakukan penggambaran di kawasan-kawasan yang agak asing baginya. Menceritakan pengalaman pernah dirasuk ketika waktu kecil, ia membuatkan Julia lebih berwaspada dan mengamalkan pembacaan surah tersebut sekerap yang mungkin.

Patung beruang

Patung beruang ini sudah berusia lebih 20 tahun iaitu sejak Julia berada di tadika lagi. Kata Julia, dia tidak boleh tidur jika tiada patung beruang tersebut. Ibunya pernah beberapa kali membuat percubaan untuk membuang patung beruang itu tapi tidak berjaya. Patung tersebut sudah beberapa kali terkoyak tetapi dijahit sendiri oleh Julia.

Gambar kenangan

Gambar ini diambil ketika bercuti bersama keluarga di Hawaii pada tahun 1999. Jelas Julia, ia merupakan percutian yang sangat berharga dan kenangan yang paling tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.

Cincin

Cincin ini merupakan cincin pertunangan milik ibunya. Kata Julia, cincin itu diberikan sendiri oleh ibu kepadanya sebelum Julia memiliki cincin pertunangannya sendiri.

Gaun

Gaun ini dibuat sendiri oleh ibu Julia ketika dia berusia 11 tahun. Pada waktu itu baju tersebut merupakan baju kegemarannya yang sering dipakai. Walaupun sudah tidak memakainya tapi dia menyimpan dengan baik sebagai barang yang sangat berharga buatnya.

iPad dan iPod

Ipad ini merupakan antara barang peribadi yang paling penting buat dirinya selain telefon bimbit. Dia menggunakan iPad untuk segala tujuan yang berkaitan dengan kerja. Manakala iPod pula menjadi teman rapatnya ketika mempunyai waktu lapang atau ketika membaca buku.

Skrip Jangan Tegur

Naskhah ini merupakan skrip filem seram pertama Julia iaitu Jangan Tegur. Dalam filem tersebut Julia memegang watak utama. Kata Julia, melalui filem tersebut juga namanya mula dikenali dalam industri perfileman tempatan. Menariknya jalan cerita filem berkenaan ada kena mengena dengan kisah yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

Telefon bimbit

Sudah tentu telefon bimbit merupakan barangan peribadi setiap orang, begitu juga Julia. Dia menggunakan telefon pintar Blackberry ini bagi memudahkan perhubungan dengan rakan-rakan dan urusan kerja yang lain.

Beg

Beg ini pula merupakan beg kegemaran Julia yang sering dibawanya ketika bersantai dan bekerja. Ia dibeli beberapa tahun dahulu dan masih berada dalam keadaan baik sehingga sekarang.

Foto SAUFI NADZRI

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain