suria

Nasir Bilal Khan Ajak Penonton Takutkan Dosa

Nasir Bilal Khan begitu selektif dengan setiap tawaran lakonannya. - Foto M AZHAR ARIF
Nasir Bilal Khan begitu selektif dengan setiap tawaran lakonannya. - Foto M AZHAR ARIF
Nasir Bilal Khan begitu selektif dengan setiap tawaran lakonannya. - Foto M AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Pelakon berkarisma, Nasir Bilal Khan, 51, mengajak penonton agar takut daripada melakukan dosa menerusi drama Tanah Kubur yang kini memasuki musim kedua.

Menurutnya, drama kali ini lebih banyak mengajarnya tentang erti kehidupan selain mahu berkongsi dengan masyarakat bersama-sama.

“Saya merasai pengalaman yang menarik dan baru yang mengajar saya tentang kehidupan.

“Ini kerana semua orang pasti mempunyai satu matlamat iaitu mati. Jadi, saya akan cuba perbetulkan apa yang berlaku kepada alam ini,” katanya penuh mendalam.

Wajah Nasir jarang kali muncul di kaca televisyen mahupun di mana-mana acara seni. Memang benar, memandangkan dia menetap di Guar Cempedak, Kedah dan terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur sekiranya menjalani penggambaran di sini.

Nasir mengusahakan perniagaan restoran milik ibu mertuanya yang diuruskan bersama-sama isterinya, Umi Kalsum.

“Saya selalu menerima tawaran satu drama sahaja setiap kali menjalani penggambaran. Tentang drama, biasanya saya pentingkan skrip dan pengarah serta menanamkan sikap jujur dan ikhlas untuk melakonkan sesuatu drama itu,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Tanah Kubur 2 arahan Rashid Sibir untuk Astro Oasis (saluran 106).

Nasir pernah bersara daripada dunia lakonan selama dua tahun dan kembali berlakon pada 2003 menerusi drama Penggali Kubur setelah dipujuk oleh rakan baiknya, pengarah Azman Yahya (Jinggo). Dia juga seronok bekerjasama di bawah arahan Ismail Yaakob.

Selain itu, pada waktu lapang dia gemar menghabiskan masa dengan bermain golf dan menyertai banyak pertandingan melibatkan sukan itu.

Hasil perkahwinannya dengan Umi Kalsum, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Nohd Naqib Nasirudinm Mohd Aqalil Aizudin dan Nur Alia Maisara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain