suria

Fizo Omar Pakar di Dapur

Fizo Omar
Fizo Omar
Fizo Omar

TATKALA pelakon Fizo Omar lalu di depan bangunan Menara Star dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki warna hitam, ramai mata yang memandang pada figura muda ini.

Manakan tidak, lagak Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar yang bergaya lengkap dengan jaket dan sarung muka khas persis seorang pelumba motosikal profesional.

“Ini (motosikal) bukan saya punya. Ia ditaja oleh Kawasaki khas buat sesi fotografi ini. Saya punya warna merah jenis Naked Bike,” ujarnya memulakan bicara.

Bersungguh-sungguh pelakon ini menceritakan perihal motosikal kesayangannya itu sehingga membuatkan penulis juga berasa teruja.

Kata anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini, minatnya menunggang motosikal berkuasa tinggi sudah lama dan selepas setahun mengumpul duit hasil titik peluh daripada kerja lakonan, barulah dia dapat membeli motor yang diidamkannya itu.

“Membeli motosikal berkuasa tinggi adalah cara saya untuk menghargai diri sendiri. Sejak membeli motor tersebut, ‘dialah’ yang menjadi kekasih saya,” selorohnya.

Kata Fizo, masa lapangnya akan diisi dengan menunggang motosikalnya itu. Malah Fizo juga sanggup berjalan jauh semata-mata ingin mendapatkan kepuasan ketika menunggang.

“Saya sukakan kelajuan. Jika mahu menunggang laju, saya akan masuk trek. Kadang-kala saya akan ke Genting Highlands semata-mata untuk minum petang.

“Jika secara berkumpulan, kami akan merancang ke luar kawasan Kuala Lumpur untuk menikmati makan tengah hari atau makan malam dan pulang pada hari yang sama,” katanya.

Pakar bisnes dan di dapur

Selain obses pada motosikal berkuasa tinggi, Fizo akui dia juga cukup gemar dan pakar dalam hal masakan.

Malah pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri Soffiyya ini bakal muncul dengan buku resipi eksklusif yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

“Memang dari kecil lagi saya suka memasak sampaikan ibu sendiri perli saya kerana suka buat kerja perempuan.

Tapi pada masa sama saya juga seorang yang lasak.

“Memandangkan kepakaran saya lebih pada masakan Thai, buku tersebut lebih pada resepi makanan Thailand dan Melayu, tetapi diajar cara yang lebih ringkas.

“Saya turut memasukkan tip-tip tambahan dari segi penjagaan kesihatan dan petua memasak,” katanya.

Di samping itu, buku resipi tersebut turut memaparkan foto-foto eksklusif Fizo dan keluarga buat tatapan peminat.

Tidak mahu mensia-siakan kepakaran yang dimiliki, lelaki berusia 26 tahun ini memasang impian untuk mengusahakan sebuah restoran sendiri.

Dalam pada itu, Fizo sudah pun memiliki perniagaan sendiri di mana dia dan keluarganya menjual makanan tradisional dan serunding selain merancang untuk mengusahakan tanah arwah ayahnya bagi penternakan kambing dan itik.

Katanya, walaupun memperoleh hasil pendapatan yang lumayan dalam kerjaya lakonan, ia sukar untuk bertahan lama dan tidak semua pelakon memiliki tuah untuk bertahan di bidang tersebut hingga ke tua.

Justeru itu, pelaburan awal dalam perniagaan menggunakan pendapatan kerjaya seni amatlah penting agar kedudukan kewangan tidak terjejas pada masa depan.

“Saya dibesarkan dalam suasana keluarga bisnes, dan ia sudah sebati dalam jiwa saya. Arwah ayah pun meniaga macam-macam benda.

“Bagi seseorang artis pula, memulakan perniagaan pada masa kita tengah laku dengan tawaran kerja-kerja seni adalah masa yang sangat sesuai.

Ia seperti membuat pelaburan di mana kita akan meraih keuntungan pada masa depan. “Satu bonus buat para artis kerana mereka dikenali ramai dan ia sekaligus memudahkan perjalanan perniagaan kita dari sudut promosi,” katanya yang juga pernah menjadi pengedar tambah nilai telefon.

Sementara itu, pelakon ini juga bersyukur, hampir empat tahun bergelar pelakon, rezekinya semakin bertambah setiap tahun. Walaupun peningkatan karier sedikit lambat berbanding rakan seperjuangannya, Kamal Adli, Fizo selesa bergerak perlahan.

Malah target muncul di filem juga tercapai di mana filem-filem lakonannya iaitu Halimunnan, Minyak Dagu, 7 Petala Cinta dan Azazil bakal ditayangkan tahun depan.

“Alhamdulillah, buat masa ini, target saya tercapai seperti yang diinginkan. Filem-filem saya juga akan ditayangkan tak lama lagi. Cuma tinggal satu lagi impian yang belum dicapai, iaitu menjadi seorang penyampai radio,” katanya.

(Terima kasih kepada penaja motor berkuasa tinggi Kawasaki)

Artikel Berikut

Demi Moore Serang Paparazzi

Artikel Lain