Alice NguyenRIAK wajah yang sombong, serius dan tegas juri program realiti terbaru saluran AXN, The Apartment iaitu Alice Nguyen ini bukan saja mampu menambahkan elemen drama tetapi mungkin membangkitkan kemarahan penonton.Hakikat itu diakui sendiri oleh perunding reka bentuk antarabangsa ini ketika pandangan itu diajukan kepadanya. Namun, jelas Nguyen, kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjadi juri sebuah program yang menawarkan kondominium bernilai RM642,500 itu bukan semudah jangkaan.Biarpun air muka yang garang dan gestur tegas itu mengundang kebencian, dia harus mengambil pendekatan itu bagi menyamai penanda aras dan standard yang dicari.“Walau apa pun pandangan orang, saya perlu bertegas dan terperinci dalam menilai rekaan dalaman para peserta.“Ia sebuah program yang besar dan melibatkan hadiah yang cukup lumayan, jadi kaedah penjurian juga harus teliti dan selaras dengan standard yang diperlukan,” kata wanita berasal dari Vietnam itu dalam satu temu bual bersama OopStarz! baru-baru ini.The Apartment adalah sebuah program realiti mingguan yang mencabar kemampuan tiga kumpulan iaitu pasangan Renai dan Jeremy, Syed dan Rodrigo serta Michael dan Tika untuk menyiapkan dekorasi dan pertukangan dalaman bagi ruang-ruang tertentu dalam sesebuah rumah.Istimewanya, program terbitan Riaz Mehta yang juga penerbit program The Biggest Loser Asia ini memaparkan konsep ‘kerja bertukang sendiri’ (DIY) yang julung kali diketengahkan di Asia.Wanita yang memiliki wajah seiras pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh ini lantas ditanya adakah perunding reka bentuk sepertinya mempertimbangkan untuk bergiat aktif dalam bidang hiburan selepas kemunculan dalam The Apartment ini.Katanya, dia tidak menolak sekiranya ada tawaran dalam bidang pengacaraan namun segalanya bergantung kepada kesesuaian projek berkenaan dan jadual kerjanya.“Kalau ada tawaran dalam bidang pengacaraan yang bersesuaian, mengapa tidak saya pertimbangkan tetapi yang pasti bukan sebagai pelakon.“Kebetulan pemilihan saya sebagai juri program ini adalah bersesuaian dengan profil sebagai perunding reka bentuk, sebab itu saya menerimanya,” katanya yang terlibat dalam rekaan bangunan Robertson Boulevard, Los Angeles dan Union Street, San Fransisco, Amerika Syarikat.Selain Nguyen, program tersebut turut diadili oleh pemilik HL Design Group, Martin Haeger dan diacarakan oleh Kahi Lee.Siri terbaru ini mula bersiaran sejak 27 Oktober lalu pada setiap Khamis pukul 8.10 malam di saluran AXN.Bersiaran sebanyak lapan episod, program terbitan Imagine Group ini ditayangkan menerusi 22 negara di sekitar Asia.