suria

AirAsia Lancar Program Pengembaraan

Edd (Tiga dari kiri) bersama Maya semasa pengambaran Travelog AirAsia di Perancis.
Edd (Tiga dari kiri) bersama Maya semasa pengambaran Travelog AirAsia di Perancis.
Edd (Tiga dari kiri) bersama Maya semasa pengambaran Travelog AirAsia di Perancis.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia melancarkan sebuah program bercorak pengembaraan, Travelog AirAsia, yang akan disiarkan di saluran TV3 pada pukul 7.30 malam bermula 20 November.

Rancangan 13 episod terbitan Primeworks Studios tersebut dihoskan oleh bekas pengurus selebriti tanah air yang kini kakitangan Air Asia, Edd Razhe atau dikenali sebagai Abang Edd bersama seorang artis tempatan dalam setiap episod.

Pengerusi AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata rancangan itu dihasilkan sempena sambutan ulang tahun syarikat penerbangan itu yang kesepuluh tahun ini.

"Pemilihan Edd sebagai pengacara adalah di atas latar belakangnya dalam industri hiburan selama 15 tahun serta berpengalaman luas menjadi pengurus artis popular seperti Maya Karin dan Yasin," katanya di majlis pelancaran tersebut.

Menurut Aziz lagi, rancangan tersebut diharap dapat membantu penonton memilih negara yang sesuai dengan citarasa masing-masing.

"Rancangan yang penuh dengan maklumat ini mungkin dapat mebantu penonton memilih apakah destinasi yang boleh dilawati apabila melancong di negara yang dipertontonkan," katanya.

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar menjelaskan kerjasama yang dibuat sebelum ini antara AirAsia dan Media Prima dalam beberapa rancangan di TV3 mendorong pembikinan Travelog AirAsia.

"Rancangan ini mempunyai identiti tersendiri di mana para penonton TV3 dapat mengetahui destinasi-destinasi AirAsia dan AirAsia X serta rangkuman produk yang dapat memenuhi permintaan mereka apabila bercuti di luar negara," katanya.

Selain Paris yang menjadi destinasi pertama, Travelog AirAsia juga memaparkan destinasi-destinasi menarik di Hanoi, Vietnam, Jogjakarta, Macau, Hong Kong, Tehran, New Delhi, Guilin dan beberapa lagi destinasi penerbangan syarikat tersebut.

Antara selebriti tanah air yang turut menjayakan rancangan yang menjalani pengambaran sepanjang September lalu ialah Maya Karin, Juliana Evans, Linda Hashim, Elfira Roy, Julia Ziegler dan beberapa artis yang lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut