SETIAP manusia akan melalui perjalanan hidup ke suatu arah. Namun pastikah kita dalam masa satu atau dua tahun akan datang, apakah yang ingin kita capai?Atau mungkin kita mahu berada di tempat duduk yang sama tanpa maju ke hadapan? Dua persoalan itu sering bermain di fikiran pelakon muda, Sara Ali yang sedang meningkat naik dalam industri hiburan tempatan ini.Usia 21 tahun, bukanlah satu penghalang untuk Sara merancang masa depan.Malah, kata gadis kecil molek ini, sejak kecil lagi, dia dididik untuk merancang hala tuju hidupnya walaupun untuk menjalani hidupan harian biasa.“Saya sering persoalkan diri sendiri, di mana kedudukan saya pada tahun-tahun akan datang.“Agak-agak dalam masa tiga hingga lima tahun lagi apa yang saya akan jadi atau ingin capai? Masih seperti ini atau lebih berjaya? Atau mungkin sesat dan tidak tahu nak ke mana?“Saya tak mahu menjalani hidup membuta tuli dengan alasan pasrah sahaja dengan apa yang bakal berlaku pada diri nanti. Kita kena ingat, If you fail to plan, you are plan to fail,” katanya.Tambah Sara, garis hidup ini merupakan satu cara untuk dirinya agar dia jelas dan faham misi dan visi perjalanan hidupnya.Juga mempunyai matlamat tersendiri, Sara merancang untuk tidak kekal lama memegang gelaran pelakon.Dia meletakkan jangkamasa lima hingga enam tahun lagi untuk mengambil pengalaman ilmu lakonan yang dipelajari itu sebagai persediaan sebelum meneruskan langkah baru sebagai pengarah filem pula.“Ya, diakui saya masih baru dalam bidang ini dan lima tahun pun belum cukup untuk saya mengumpul ilmu lakonan. Tetapi saya mahu ada matlamat dimana saya tidak mungkin berada di kedudukan selesa sepanjang masa.“Memandangkan impian saya mahu bergelar seorang pengarah, saya letakkan jangka masa sendiri mengumpul ilmu sebanyak mungkin.“Dan kemudian, setelah kedudukan pengarah itu kukuh, saya teruskan perancangan untuk memiliki sebuah produksi drama atau filem. Selepas itu, barulah saya boleh fikir untuk mendirikan rumah tangga pula,” seloroh gadis bermata galak ini berbicara tentang hala tujunya.PendiamTidak seperti remaja seusia, pelakon filem Songlap ini agak matang dengan setiap perkara yang dilalui.Pernah dikaitkan dengan isu sombong, gadis ini juga tidak kisah tentang hal yang berbangkit itu. Malah dia lebih senang menganggap kontroversi tersebut merupakan asam garam sebagai seorang pelakon.“Biasalah bila kita baru nak naik dalam industri, tak ramai yang kenal siapa diri kita. Begitu juga dengan saya, sebagai seorang pelakon baru, cara berkomunikasi saya agak lemah.“Tidak melatah dengan kritikan orang, saya anggap definasi ‘sombong’ itu perkataan baru untuk pendiam kerana sebenarnya saya sememangnya sangat pendiam.“Namun, berdiam itu bukan lemah tau. Saya lebih suka berfikir panjang dan simpan sesuatu perkara itu dalam diri sahaja.“Andai kata berlaku kontroversi pada diri saya pilih untuk belajar dan memberi reaksi,” tutur Sara.SonglapBaru sahaja dua tahun berada di industri seni tempatan, bakatnya sudahpun diberi kepercayaan oleh pihak penerbit filem.Jika dikira-kira, sebanyak tujuh buah filem dan sebuah drama yang telah pun dilakonkannya sedangkan pelakon yang tersedia ada juga tidak mempunyai tuah sepertinya.Tidak terfikir untuk bergelar pelakon pada mulanya, penuntut jurusan Seni Bina di Universiti Lim Kok Wing ini mula melihat, bidang lakonan telah banyak mengajar melihat masa depan sendiri.“Mula-mula berlakon, saya masih belajar untuk mengenali bidang ini dan lama-kelamaan, saya boleh lihat dimana kedudukan saya pada masa akan datang nanti, berbanding dengan dahulu dimana saya agak kabur dengan perkara yang dilakukan. Syukur ibu dan ayah banyak menyokong.“Saya juga belajar, bukan mudah untuk bergelar seorang pelakon. Tidak semudah yang disangka. Tetapi kerjaya ini membuatkan fikiran saya lebih matang,” kata peminat pelakon Hollywood, Marion Cotillard ini.Terbaru, Sara bakal muncul dengan filem Songlap yang akan ditayangkan pada 15 Disember ini.Satu pengalaman baru untuk anak kelahiran Johor ini, dia diberi tanggungjawab menggalas watak utama pula sebagai Hawa.Baginya, Songlap merupakan filem yang mencabar kerana watak yang dibawakan banyak bermain emosi.“Hampir 100 peratus lakonan saya sebagai Hawa perlu bermain emosi tanpa dialog. nampak mudah bukan, tetapi ia amat sukar sehinggakan saya sering ditegur pengarah (Effendee dan Fariza Azlina).“Bagaimanapun teguran itu berbaloi kerana karakter Hawa yang pendiam itu menjadi. Walaupun tidak banyak dialog, saya perlu tonjolkan tindak balas kepada setiap perkara yang berlaku di sekeliling. “Songlap juga mengajar saya cara menyampaikan apa yang tersirat di hati menerusi mata kita,” ujarnya tersenyum.Songlap mengisahkan tentang adik-beradik, Am dan Ad yang terbabit dalam sindiket penjualan bayi yang diuruskan seorang wanita bergelar Mama.Dua beradik ini mempunyai karakter yang berbeza dimana Am mengambil kesempatan dengan menggunakan perniagaan Mama sebagai jalan pintas mendapatkan wang untuk kegiatan judinya, manakala Ad mengimpikan kehidupan lebih baik dengan menyertai pertandingan tarian B-Boy.