suria

Empat Artis Rock Bakal Gegar Konsert Loudspeaker

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, syarikat yang cukup sinonim dengan industri permotoran berkuasa tinggi, penerbitan dan juga pengurusan acara, Red Garage Group Sdn Bhd bakal menganjurkan konsert sulung mereka iaitu Konsert Loudspeaker pada 25 Disember ini di Stadium Merdeka.

Syarikat yang diusahakan Muhd Idi Iskandar Abu Zahar bersama adiknya yang juga pelakon popular, Dira Abu Zahar ini mempertaruhkan empat ikon muzik berpaksikan rock iaitu kumpulan otai Wings, XPDC, Faizal Tahir dan Azlan & The Typewriter.

Dengan pengaruh, kuasa dan legasi seni yang diperjuangkan empat entiti seni itu, konsert berskala besar selama tiga jam ini dijangka mampu memanaskan lagi momentum tahun 2011 yang bakal berlabuh tidak lama lagi.

Jika sebelum ini syarikat yang turut memiliki kedai menjual motosikal berkuasa tinggi dan mempunyai majalah permotoran, My Chopperz Magazine ini sering bekerjasama sebagai penaja bagi sesebuah acara, konsert ini dilihat bakal menjadi percaturan dan penanda aras baru buat mereka.

Menurut Dira yang baru saja bergelar isteri kepada pengarah fotografi, Mohd Helmi Mohd Yusof pada 11 November lalu, Loudspeaker disifatkan sebagai satu langkah baru buat Red Garage yang ingin mengukuhkan kredibiliti dalam pengurusan acara sekali gus menjadikan hiburan sebagai tarikan utama.

“Kita mahu mewujudkan mekanisme baru dengan meletakkan dunia permotoran dan hiburan berjalan seiring. Malah tidak dapat dinafikan hiburan begitu dekat dengan manusia dan masyarakat kita khususnya.

“Meletakkan empat penyanyi hebat ini sendiri boleh dianggap sebagai umpan terbaik untuk menarik peminat masing-masing datang ke konsert ini. Tambah pula kita mengenakan harga yang boleh dianggap berpatutan,” katanya yang memikul tanggung jawab sebagai Pengarah Pengiklanan dan Promosi, Red Garage Group Sdn Bhd.

Dalam pada itu, sebagai tanda mengalu-alukan kemunculan Loudspeaker, acara Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2011 pada 23 dan 24 Disember iaitu dua hari sebelum berlangsungnya konsert kemuncak yang dinanti-nantikan ramai itu.

KLBW 2011 mengambil lokasi di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. KLBW menjadi kesinambungan tahun sebelumnya yang dimulakan sejak 2008.

“Alhamdulillah saban tahun jumlah penyertaan dari penunggang motosikal dan kehadiran orang ramai untuk menyaksikan acara ini sangat menggalakkan. Bayangkan sejak 2008, kita meraih jumlah seramai 8,000 orang dan meningkat tahun lalu seramai 25,000 orang.

“Sesuatu yang cukup membanggakan juga, acara ini juga mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada rakan media, penaja dan stesen TV. Kami amat berterima kasih dan harapnya hal yang sama akan terjalin kali ini. KLBW dalam erti kata lain juga menjadi ruang untuk mempromosikan dunia permotoran dan sektor pelancongan dalam skala yang lebih meluas,” kata Idi.

Tambahnya, KLBW secara khususnya memberi sasaran kepada semua penunggang dan peminat motosikal berkuasa tinggi dari serata dunia dengan menyaksikan Malaysia mewakili rantau Asia Tenggara.

“Kali ini, kami begitu positif meletakkan sasaran seramai 150,000 orang untuk sama-sama menyaksikan KLBW 2011. Pihak kami juga akan membuka gerai jualan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS), gerai pameran, pameran seni lukis dan grafiti,pameran motor unik dan persembahan pentas," ujar Idi lagi.

Red Garage Group Sdn Bhd pernah menjayakan kerjasama untuk konsert Double Trouble pada tahun laluSyarikat ini beroperasi secara rasmi di alamat Block K-02-09, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Tempahan tiket konsert yang berharga RM77 dan RM222 itu boleh didapati menerusi laman web www.tickethotline.com.my atau di talian, 03 7725 1177.

Untuk keterangan lanjut, layari laman Facebook, www.facebook.com/redgaragemalaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain