suria

Tasha Shilla Tolak Cinta Demi Kerjaya

AKTRES bergelar Tasha Shilla (gambar) ini mengakui fasa kehidupannya hari ini sangat membahagiakan. Bukan kerana cinta, tetapi dia begitu bersyukur dengan laluan lancar yang ditempuhi dalam mengukuhkan namanya di persada seni lakon tanah air.

Tika kami bersua untuk sesi fotografi OopStarz! baru-baru ini, anak sulung dalam keluarga ini mengakui apa yang menggembirakan dirinya adalah impian sejak kecil untuk bergelar pelakon akhirnya menjadi kenyataan.

Lebih menarik lagi, kurang dua tahun pembabitannya dalam lakonan, Tasha bukan sahaja tidak cukup tangan untuk memenuhi pelbagai tawaran malah namanya juga meniti bibir di kalangan penggemar drama televisyen dan filem Melayu.

Walhal, hayat penglibatannya di pentas lakonan hanyalah setahun jagung tetapi populariti yang dikecapi Tasha seolah dirinya sudah lama bergelar anak seni.

Pun begitu, Tasha enggan menerima pandangan nakal yang mendakwa populariti mendadak yang memalit dirinya hari ini bersandarkan pada tuah semata-mata.

Ulangnya berkali-kali, pandangan tidak berasas itu adalah tidak tepat kerana pada hakikatnya dia menyifatkan populariti diri yang dinikmatinya itu bertitik-tolak daripada komitmennya terhadap bidang kreatif ini.

“Kalau khalayak menganggap saya popular dan dikenali ramai kerana tuah, maka pandangan itu adalah kurang tepat. Benar, saya mendapat restu ibu dan keluarga dan berkat sokongan peminat, kerjaya lakonan terus berkembang hari demi hari.

“Namun, itu bukan bermakna saya bergantung pada tuah. Pencapaian kecil yang saya kecapi adalah kerana kerja keras dan komitmen yang saya curahkan untuk berada di mana saya berada kini,” katanya.

Kongsi Tasha lagi, dia menolak bulat-bulat sebarang bentuk kontroversi atau kisah remeh-temeh untuk dijadikan senjata membina nama. Justeru, selepas setahun setengah bergelar pelakon, gadis ini menganggap dirinya dikenali ramai kerana kerja dan bukan kontroversi.

“Kalau diperhatikan, memang tidak ada cerita-cerita panas atau kontroversi murah yang dikaitkan dengan diri saya. Ini kerana, saya sentiasa ingatkan diri akan objektif sebenar saya menceburi bidang ini.

“Sejak kecil, saya memang sukakan bidang lakonan, jadi apabila peluang itu terhidang akhirnya, tidak ada sebab saya perlu mencemari perjalanan karier ini dengan kisah remeh-temeh yang hanya menggugat kerjaya saya,” ceritanya.

Fokus kerjaya rahsia kejayaan mendadak

Asasnya cukup mudah, kata Tasha. Bergelar anak wayang sudah menjadi impiannya sejak kecil dan apabila ruang itu terbuka akhirnya, dia enggan mensia-siakan peluang itu dan hanya mahu buat yang terbaik.

Aktres ini berkata dia sangat berbesar hati apabila orang ramai mengenalinya kerana sesuatu watak yang dilakonkannya dan bukan kerana kisah remeh berbaur kontroversi.

“Saya rasa rendah diri dan tersentuh apabila orang menegur saya dan bercakap tentang lakonan saya. Hakikatnya, saya akui bukan mudah untuk seorang selebriti khususnya pelakon wanita terlepas daripada isu-isu kontroversi.

“Namun, saya bersyukur kerana diri ini menjadi sebutan khalayak kerana kerja dan bukan cerita yang bukan-bukan. Mungkin ia bertitik-tolak daripada pendekatan yang saya amalkan iaitu fokus dalam kerja,” katanya.

Tidak mahu cinta mengganggu kerja

Atas dasar itu juga, tanpa berselindung Tasha mengakui dia tidak memerlukan cinta insan bergelar kekasih pada waktu ini. Bukan Tasha tidak bersikap realistik, cuma pengalaman cinta yang lalu banyak mengajarnya untuk memberikan keutamaan pada kerjaya terlebih dahulu di kala peluang sedang berkembang.

“Saya sedar hidup ini perlukan cinta dan kita tidak akan bahagia tanpa cinta. Memang cinta itu indah dan mengasyikkan tetapi keasyikan itu juga boleh melalaikan fokus kita.

“Lakonan adalah kerjaya impian saya dan saya tidak mahu komitmen hubungan cinta akan merosakkan perkembangan kerjaya saya hanya kerana leka dengan permainan cinta,” katanya.

Tambah Tasha, dia sedar akan kemampuan dirinya dalam menangani dan menguruskan sesuatu perkara, di mana dia tidak mampu untuk membahagikan masa dan tumpuan seadilnya untuk dua perkara serentak.

Lantas, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Gemilang arahan Kabir Bhatia ini nekad untuk mengetepikan hubungan cinta buat sementara waktu selagi kerjaya belum kukuh terbina.

“Setakat ini, saya memang tiada kekasih dan tiada sebab untuk saya menyembunyikannya jika memang saya menjalin hubungan dengan seseorang.

“Bohonglah kalau saya tiada keinginan untuk bercinta tetapi perkara itu menjadi perkara kedua pada waktu ini kerana keutamaan saya adalah untuk mengukuhkan kerjaya lakonan.

“Saya sedar tidak mampu membahagikan masa dan tumpuan seadilnya jika melakukan dua perkara secara serentak. Oleh itu, saya memilih untuk bercinta dengan kerjaya dulu,” katanya yang menyimpan hasrat untuk membintangi produksi teater pada 2012.

Foto RAYMOND OOI Solekan dan dandanan SHAMNINA OMAR (019-3686619)

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain