suria

Yuna Tidak Menyesal Jika Gagal Di Amerika

Yuna.
Yuna.
Yuna.

SUBANG JAYA: Penyanyi bertaraf antarabangsa, Yunalis Zarai menjelaskan dia tidak menyesal jika usahanya menjadi seorang penyanyi di Amerika Syarikat menemui kegagalan.

Yuna berkata, dia tidak terlalu meletakkan harapan tinggi untuk diterima baik oleh penggemar muzik di sana kerana persaingan cukup hebat.

"Saya sendiri sehingga kini masih tidak percaya berpeluang mengembangkan bakat di sana sekaligus dapat menerbitkan album bersama produser terkenal seperti Pharell williams.

"Tetapi saya tidak akan menyesal jika usaha membina nama di sana tidak menjadi kerana sekurang-kurangnya saya telah mencuba," ujarnya ketika ditemui pada majlis Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2011 di sini, Selasa.

Ujarnya, atas dasar itu juga dia masih berulang alik dari Kuala Lumpur ke Amerika kerana tidak mahu meninggalkan terus industri muzik tempatan yang telah banyak menaikkan namanya.

Tambahnya, peminat di tanah air yang banyak menyokongnya juga menjadi inspirasi untuk terus berkarya untuk mereka.

"Menulis lirik dan mencipta lagu adalah minat saya, jadi saya akan terus membuat apa yang dicintai untuk semua peminat," ujarnya.

Sementara itu, Yuna memberitahu album pertamanya di Amerika akan dilancarkan pada Mac tahun hadapan dan berharap ia akan diterima baik oleh peminat.

"Proses rakaman hampir selesai dan InsyaAllah single pertama akan dilancarkan sebelum album penuh. Saya sangat teruja," ujarnya.

Katanya lagi, dia juga akan kembali ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat kerana akan membuat persembahan pada program MTV Iggy yang akan berlangsung di New York.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan