PETALING JAYA: Selepas kejayaan Malam Inspitari 2011 dan No Wrong Notes, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus rancak menganjurkan satu lagi acara iaitu Pertandingan Akhir Lagu Melayu Antarabangsa 2011 yang bakal berlangsung Ahad ini.Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, pertandingan yang pertama kali dianjurkan itu sebagai salah satu cara bagi memartabatkan bahasa kebangsaan selain mengekalkan khazanah budaya negara. "Selain mengiktiraf bahasa Malaysia sebagai perhubungan rasmi di persada dunia melalui pembudayaan bahasa, pertandingan ini juga diadakan bagi mengembangkan populariti lagu Melayu ke luar negara."Kami juga berharap ia dapat membuahkan hasil yang baik serta dapat melahirkan rakyat Malaysia yang sayang akan bahasanya sendiri."Tidak mustahil, kehebatan bahasa Malaysia ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka boleh kembali di pada zaman ini, lebih-lebih lagi jika pihak kerajaan menggiatkan usaha ke arah memartabatkan bahasa ibunda kita," katanya.Menariknya, pertandingan ini hanya terbuka kepada peserta bukan warganegara dan ia mendapat maklum balas positif daripada warga asing yang terdiri daripada pekerja kedutaan dan suruhanjaya tinggi, perwakilan negara luar termasuklah yang sedang berkhidmat di sektor swasta serta kakitangan dan pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).Difahamkan, lebih 60 warga asing yang menetap di sini mencuba nasib pada peringkat saringan yang berlangsung pada 26 November lalu.Bagaimanapun hanya 10 peserta bertuah sahaja yang berjaya melangkah ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, pukul 8 malam.Tempat pertama kategori lelaki dan wanita akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000, piala pusingan dan sijil mana kala pemenang tempat kedua akan menerima wang tunai RM 8,000 dan bagi tempat ketiga pemenang akan menerima wang berjumlah RM 6,000.Selain itu, pemenang hadiah saguhati pula akan membawa pulang wang tunai RM 1,000. Begitu juga dengan Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik, setiap pemenang kategori berkenaan akan menerima wang tunai berjumlah RM 1,000.Pada malam itu nanti, penonton bakal mendengar lagu seperti Nasib Bunga, Kias Fansuri, Apa Dah Jadi, Cinta Nusantara, Joget Pahang, Balqis, Cindai, Seri Dewi Malam, Mengapa Rindu dan Dikir Puteri dinyanyikan dengan gaya tersendiri oleh warga asing ini.