suria

Capital FM: Dari Wanita Untuk Wanita

Capital FM telah memulakan siaran pada 1 Disember lalu.
Capital FM telah memulakan siaran pada 1 Disember lalu.
Capital FM telah memulakan siaran pada 1 Disember lalu.

“SAYA rasa seperti guru yang menjaga sekelas murid-murid pintar.

Disebabkan bakat yang dimiliki, mereka ini cepat bosan tetapi sentiasa aktif, penuh idea-idea bernas dan tidak ragu-ragu menyuarakannya dengan lantang,” akui Perunding Capital FM, Non dalam keterujaannya bekerjasama dengan sepasukan wanita hebat sejak 1 Disember lalu.

Pada tarikh tersebut, stesen radio Capital FM (88.9) yang baru diambil alih oleh Kumpulan The Star Publications itu muncul dengan fokus baru sebagai memenuhi gaya hidup wanita urban sekitar Lembah Klang dengan barisan penyampai bertaraf bintang seperti Asha Gill, Joanne Kam dan Xandria Ooi selain pengacara ESPN, Patricia K, bekas penyampai Red FM, Sheela Haran dan April Kuan (Best 104).

Non yang berkecimpung dalam industri ini sejak lebih sedekad lalu merasakan bahawa radio bukan sahaja masih relevan sebagai medium komunikasi efektif sebaliknya kemajuan teknologi mengembangkan lagi potensi industri berkenaan untuk diangkat sebagai saluran media interaktif penting selain televisyen dan internet.

“Cabaran untuk semua pada masa ini adalah untuk kekal relevan. Internet memungkinkan industri radio berkembang ke tahap lebih tinggi dan kini kita mempunyai cakupan pendengar global berbanding dahulu.

“Ini adalah masa untuk menawarkan produk berkualiti bagi memenuhi apa yang sebenarnya diinginkan oleh pendengar,” katanya kepada Mingguan mStar di studio Capital FM, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Non, tanggungjawab baru yang digalasnya ini, pertama sebagai ketua program (walaupun sering merancang dan menguruskan segmen sendiri sebagai penyampai radio) dan kedua bekerjasama dengan barisan penyampai berbakat besar dan cukup berpengalaman serta arif dalam bidang masing-masing adalah satu cabaran yang menyeronokkan.

Sasaran demografi pendengar wanita berusia antara 25 dan 35 tahun, katanya, merupakan satu cabaran yang ditunggu-tunggu bukan sahaja bagi diri beliau selaku Perunding Capital FM malah bagi kesemua barisan penyampai selebriti terutama Asha Gill, ibu tunggal dinamik yang berhasrat berkongsi pengalaman hidup bersama kaum ibu.

Non berharap Capital FM akan dapat memperkasakan wanita moden Malaysia di zaman kepesatan teknologi ini.

“Pada masa sama, kami ingin menjadikan Capital FM sebagai radio komuniti di mana para pendengar merupakan entiti penting.

Lagu-lagu yang diputarkan juga mengambil kira kepelbagaian minat muzik di kalangan wanita. Ramai yang tidak sedar wanita lebih menghargai muzik dan mereka mendengar semua jenis genre dari rock sehinggalah klasik,” ujarnya.

Di samping itu, Non juga menjelaskan, slot waktu bagi segmen-segmen tertentu juga telah dirancang dengan baik dengan mengambil kira sensitiviti masa terutama pada hujung minggu di mana siaran umum akan mengambil tempat kerana ramai menggunakan waktu tersebut untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Bintang Penyampai

Susunan segmen bagi para penyampai Capital FM yang bertaraf selebriti juga diatur dengan bijak bagi menarik minat pendengar bermula dengan pelawak dan pelakon, Joanne Kam menerusi program ala ‘breakfast show’ pada setiap pagi Isnin hingga Jumaat mulai 6 hingga 10 pagi.

“Kami akan memulakan setiap hari dengan cerita-cerita yang memberi inspirasi kepada wanita. Kami menjemput pakar motivasi (life coach) untuk berinteraksi dengan pemanggil mengenai sebarang isu atau kesulitan dalam hidup mereka.

Sementara setiap pagi Jumaat menerusi slot ‘Fantabulous Fridays’ saya berbicara tentang makanan, minuman dan tempat menarik untuk dikunjungi pada malam minggu,” kata Joanne yang akan ditemani DJ Joey G dan pelakon Tony Eusoff.

Untuk lari daripada konsep program pagi yang pernah dilakukan sebelum ini, Joanne mengubah pendekatan dengan menawarkan tips dan informasi terkini berhubung isu-isu berkaitan gaya hidup wanita termasuk bidang yang menarik minat mereka terutama segmen hiburan meliputi seni persembahan berbanding hiburan komersial.

Katanya, penyampai iringan lelaki yang tidak asing dalam industri iaitu Joey dan Tony juga mempunyai pelbagai cadangan topik-topik menarik untuk diutarakan bagi membuka platform baru kepada peminat dan selebriti pelbagai bakat seperti mereka.

“Yang penting, setiap pagi para pendengar Capital FM akan disuntik dengan inspirasi untuk membakar semangat mereka meneruskan rutin harian dengan positif dan minda yang baru,” tambahnya.

Segmen Joanne diikuti dengan program kelolaan Asha Gill pada 10 pagi hingga 1 petang yang membicarakan topik berkaitan menempuhi kehidupan sebagai ibu termasuk perihal anak-anak, menguruskan rumah tangga dan mengimbangi kehidupan serta kerjaya.

Walaupun merupakan ikon signifikan dalam bidang penyiaran, Asha tidak ingin sekadar memenuhi slot dalam Capital FM sebaliknya ingin membawakan kejutan istimewa buat rakyat Malaysia dengan membongkar tips survival sebagai seorang ibu tunggal membesarkan anak remaja dalam mengimbangi kerjaya.

Menurut Asha, program khusus untuk wanita adalah sesuatu yang sudah lama ingin dilakukannya untuk membantu ibu-ibu bekerjaya memacu kehidupan dengan penuh dinamik memandangkan tanggungjawab sebagai wanita semakin berat dipikul dalam zaman teknologi ini.

Dia juga sudah lama memendam hasrat untuk menyertai penyiaran radio, namun tawaran-tawaran yang diterima sebelum ini kurang sesuai disebabkan kekangan waktu dan komitmen sebagai ibu yang mengendalikan urusan anak termasuk menghantar dan mengambil pulang dari sekolah.

“Saya ingin berkongsi pengalaman bersama ibu-ibu lain termasuk cara mendekati anak-anak remaja. Kami ingin memecahkan jurang sedia ada dan mendekati para pendengar sebagai sahabat baik mereka. Di era moden ini, wanita lebih selesa berkongsi masalah secara terbuka dan itulah tujuan forum ini diadakan,” ujar Asha.

Segmen Asha diikuti dengan ‘My City’ kelolaan Patricia K, pengacara berbakat besar berusia 25 tahun dan berdarah kacukan Denmark - Cina. Siaran setiap Isnin sehingga Jumaat itu, katanya, membolehkan dia berkongsi pelbagai minat dengan ramai pendengar generasinya termasuk trend fesyen, gaya hidup, muzik dan melancong ke luar negara.

Kata Patricia, dia berbangga mewakili wanita muda urban Kuala Lumpur masa kini dan mengakui mempunyai banyak persamaan dengan golongan tersebut yang dipacu semangat tinggi bukan sahaja untuk mempertingkatkan kerjaya malah ilmu, kemahiran, memperluaskan jaringan hubungan dan pada masa sama mendalami pelbagai bentuk hobi, genre muzik serta menghargai seni tradisional dan kontemporari.

“Saya sendiri menggemari muzik ‘underground’ dan sudah tiba masanya peminat-peminat genre ini diberi peluang tampil ke hadapan. Selain itu, saya juga ingin mengutarakan topik berkaitan perhubungan sama ada cinta atau keluarga.

“Sebagai anak yang pernah melalui pengalaman akibat penceraian ibu bapa, saya ingin berhubung dengan ramai wanita yang berkongsi pengalaman sama tetapi dalam aspek positif, seperti membantu generasi lebih muda menempuhi kehidupan tanpa dibelenggu masalah keluarga,” jelas Patricia yang juga merupakan deejay berbakat.

Sementara setiap malam Isnin hingga Jumaat, Sheela akan muncul bersama lagu-lagu R&B dan Soul menerusi segmen ‘Groove Down’ sesuai dengan mood pendengar yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan inginkan suasana tenang sebelum tiba di rumah.

Menariknya, Sheela hanya menerima panggilan daripada pendengar wanita sepanjang segmen tersebut untuk memberi peluang mereka meluahkan sebarang pandangan atau sekadar berkongsi kisah-kisah menarik untuk membangkitkan semula semangat selepas seharian penat bekerja.

“Ini adalah masa santai untuk wanita. Jadi kami memperuntukkan masa khusus kepada pemanggil wanita berkongsi apa jua perkara - seperti berbual dengan teman-teman wanita lain tanpa sebarang gangguan atau kritikan daripada lelaki.

“Kami ingin mengeratkan interaksi dengan para pendengar dan menerusi segmen ini juga, kami cuba berbuat demikian tanpa meletakkan sebarang tekanan dan kekangan.

Hanya santai dan relaks sambil menghayati irama seksi R&B dan Soul,” katanya.

Manakala pada hujung minggu pula, April menyajikan irama muzik global pada setiap Sabtu pada 10 pagi hingga 1 petang dan memutarkan lagu-lagu berinspirasikan jazz dari seluruh dunia mulai 1 hingga 4 petang pada setiap Ahad.

“Segmen ‘Global Passport’ sesuai dengan pendengar wanita yang mempunyai pelbagai citarasa muzik. Sebagai peminat genre ini, saya ingin berkongsi koleksi muzik dunia yang kaya dengan pengaruh instrumental.

Tidak terlalu eklektik, saya akan membawakan lagu-lagu moden agar relevan dengan pendengar.

“Segmen jazz pula sudah lama menjadi impian saya. Sedar tak sedar, saya mempunyai koleksi besar cakera padat yang dipengaruhi genre tersebut.

"Ramai artis terkenal mendapat inspirasi daripada jazz dan ini adalah platform terbaik untuk berkongsi pengetahuan itu dengan pendengar,” tambah April.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain