suria

Farah Lebih Selesa Sebagai Pengacara

Farah Diana lebih selesa sebagai pengacara. Foto Ihsan ASTRO.
Farah Diana lebih selesa sebagai pengacara. Foto Ihsan ASTRO.
Farah Diana lebih selesa sebagai pengacara. Foto Ihsan ASTRO.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Farah Diana Anuar, 26, kini lebih selesa bergelar seorang pengacara selepas menimba pengalaman mengendalikan program Rasa Halal terbitan Astro Oasis.

Farah berkata, dia kini lebih matang mengendalikan program tersebut yang kini masuk musim ke enam dan mengakui program itu telah banyak membantunya dalam mengasah bakat sebagai seorang pengacara.

"Saya dapati, mengendalikan sesebuah program tidak semudah yang disangkakan tetapi melalui pengalaman, ia banyak membantu saya memperbaiki mutu persembahan ketika mengacarakan sesebuah program.

"Tambahan pula seperti program Rasa Halal memerlukan saya banyak berinteraksi dengan masyarakat di luar negara selain menggambarkan keadaan setempat, makanan dan budayanya.

"Ia memerlukan persediaan rapi dan perlu membuat banyak rujukan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran musim terbaru program Rasa Halal Laos dan Thailand di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Farah berkata, musim keenam program itu adalah paling mencabar buat dirinya kerana mengambil masa lama semasa penggambaran.

Ujarnya, mereka mengambil masa selama 20 hari untuk menjalani penggambaran di kedua-dua buah lokasi iaitu Thailand dan Laos.

"Walaubagaimanapun saya sangat seronok kerana dapat pergi ke pelbagai tempat yang tidak pernah saya fikir dapat pergi dan pelbagai perkara dapat dipelajari semasa berada di sana," katanya.

Farah menambah, musim terbaru Rasa Halal Laos dan Thailand bakal memaparkan banyak aspek makanan yang terdapat di negara tersebut.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai makanan yang pelik tetapi dia tidak mempunyai masalah untuk mencuba semua hidangan yang disediakan.

"Salah satu objektif program ini adalah untuk mempromosikan kepada penonton mengenai makanan kepada pelancong beragama Islam yang ingin melancong ke sana kerana soal makanan halal adalah begitu dititik beratkan oleh masyarakat Islam.

"Atas dasar itu, musim kali ini banyak menekankan tentang makanan halal selain tempat-tempat ibadah untuk tatapan penonton," katanya lagi.

Rasa Halal Laos dan Thailand bersiaran pada setiap Selasa, pukul 7.30 malam bermula 6 Disember menerusi saluran Astro Oasis 106.

Artikel Sebelum

Artikel Lain