suria

Julfekar Himpun Artis Program Realiti Dalam DA 10

Artis DA 10 menunjukkan album mereka yang menampilkan 10 buah lagu ciptaan dan terbitan Julfekar. - Foto RAYMOND OOI
Artis DA 10 menunjukkan album mereka yang menampilkan 10 buah lagu ciptaan dan terbitan Julfekar. - Foto RAYMOND OOI
Artis DA 10 menunjukkan album mereka yang menampilkan 10 buah lagu ciptaan dan terbitan Julfekar. - Foto RAYMOND OOI

KUALA LUMPUR: Album DA 10 menghimpunkan 10 artis yang pernah menyertai program realiti sebelum ini tetapi bakat mereka tidak diketengahkan.

Menurut Pengarah Urusan MillenniumArt Sdn Bhd, Julfekar Ahmad Shah, syarikatnya dan Dream Music Sdn Bhd bergabung untuk menerbit dan mengedar album ini setelah menilai bakat dan kemampuan vokal masing-masing.

“Kalau tidak kami yang ketengahkan (bakat), siapa yang akan lakukan kerana mereka mempunyai bakat. Namun, semuanya bergantung kepada tuah dan rezeki masing-masing.

“Kami memilih artis-artis ini berdasarkan vokal mereka dan paras rupa terletak pada nombor dua,” kata Julfekar semasa sidang media pelancaran album tersebut dan menandatangani MOU persefahaman antara Dream Music dan MillenniumArt di Saloma Bistro, di sini, Rabu lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dream Music Sdn Bhd, Datuk Mohd Fauzi Zakaria berkata, hampir RM1 juta dilaburkan untuk menghasilkan album tersebut termasuk kos promosi.

“Kos pembikinan album ini dikongsi sama rata antara Dream Music dan MillenniumArt. Kami mengambil masa selama tiga bulan untuk mengikat perjanjian antara kedua-dua syarikat ini,” kata Mohd Fauzi.

Artis yang terlibat dalam projek ini adalah Farlyana dengan lagu Bukan Untuk Sesaat, Min Yasmin (Jauh Di Mata), Rahayudean (Lafazkanlah), SriDewi (Meraih Cintamu), Akasia (Demi Kita), Endra (Terurai Sudah), Reen Rahim (Demi Kita), Farhana (Dalam Sudut Kasih), Rifhan (Merpati Hatiku) dan Elveena Idris (Pelangi Impian).

Menyentuh serba-sedikit tentang latar belakang artis DA 10, Farhana pernah menyertai program Gangstarz 2 bersama kumpulan South Trio, Rifhan (Sinaran Pasport Kegemilangan 10), Rahayudean (Sinaran Pasport Kegemilangan tahun 2000 & Bintang Klasik Nasional 2007), Min Yasmin (Jangan Lupa Lirik 1), SriDewi (Bintang Al-Minnal 1 Malaysia RTM), Akasia (Gangstarz 2008).

Album DA 10 telah berada di pasaran bermula bulan ini.

Kesemua artis DA 10 turut akan terlibat dengan beberapa siri jelajah untuk mempromosikan album ini ke seluruh negara seperti Kuantan, Kuala Terengganu, Kemaman, Sungai Petani, Seremban, Melaka, Johor Baru, Ipoh, Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bermula bulan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain