Para pelakon utama filem Bujang Telajak Belum Terlanjur: Saiful Apek, Johan Raja Lawak, Nabil Raja Lawak dan Fazura.PETALING JAYA: Pengarah filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur, Prof. Madya A. Razak Mohaideen menegaskan filem terbarunya itu bukanlah bertujuan untuk mempersendakan orang kelainan upaya (OKU).Sebaliknya, filem yang menampilkan watak tiga lelaki yang menyamar sebagai buta, pekak dan bisu itu sekadar mahu menunjukkan semangat ketiga-tiga mereka untuk merebut seorang wanita pujaan. “Saya tak rasa penonton akan tersinggung kerana watak-watak itu diwujudkan bukan untuk mempersendakan golongan OKU tetapi menunjukkan ada yang sanggup menyamar menjadi golongan itu semata-mata meraih cinta seorang gadis.“Saya memilih tema sebegini kerana sebelum ini orang jarang menyelami perasaan golongan OKU seperti watak ibu Puteri ( lakonan Susan Manen) yang memberi harapan kepada suaminya (Mustapha Kamal) iaitu seorang lelaki buta.“Sebab itu Puteri (Fazura) menyukai dan ingin mengahwini lelaki OKU,” jelasnya semasa sidang media dan promosi tayangan filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dekat sini.Filem ini mengisahkan tentang tiga sahabat karib iaitu Saiful, Nabil dan Johan yang jatuh cinta dan bersaing antara satu sama lain untuk menarik perhatian seorang gadis bernama Puteri.Mereka bertiga bekerja sebagai ahli silap mata dan ketika membuat penggambaran sebuah iklan, mereka tertarik dengan Puteri yang menjadi model untuk iklan itu.Tambah A. Razak lagi, biarpun filem ini belum ditayangkan di pawagam pada 11 Januari depan, dia sudah merancang untuk membikin sekuel Bujang Terlajak Belum Terlanjur.“Saya akan membuat bahagian kedua filem ini nanti. Namun semuanya bergantung kepada sambutan penonton.“Jika melepasi kutipan RM3 juta, mungkin saya akan melakukan sekuel filem ini,” katanya yang turut merancang untuk membikin filem No Right Petua Pikat Awek pada 2012 yang akan dibintangi oleh Aaron Aziz dan Erra Fazira.Dalam masa yang sama dia juga bercadang menghasilkan filem Between Two Skies yang dijadualkan menjalani penggambaran pada 2013 atau 2014 kerana melibatkan pelakon antarabangsa dengan kos kira-kira RM8 juta.