suria

Shahz Jaszle Tak Gaduh Dengan Julie Dahlan

Shahz Jaszle nafi dakwaan begaduh dengan penerbit drama, Julie Dahlan.
Shahz Jaszle nafi dakwaan begaduh dengan penerbit drama, Julie Dahlan.
Shahz Jaszle nafi dakwaan begaduh dengan penerbit drama, Julie Dahlan.

PETALING JAYA: Pelakon, Shahz Jaszle menafikan khabar angin bahawa dia mempunyai masalah dengan Julie Dahlan gara-gara gagal menjayakan sebuah drama terbitan penerbit wanita itu baru-baru ini.

Shahz berkata, dia menarik diri daripada membintangi drama berjudul Pemandu MB itu secara baik kerana mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu.

"Benar saya menarik diri daripada drama itu kerana telah dimasukkan ke hospital dan disyaki dijangkiti penyakit batu karang.

"Bagaimanapun pengunduran saya daripada drama tersebut adalah secara baik dan pihak produksi termasuk Kak Julie menerimanya tanpa ada sebarang percakaran antara kami," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Dalam pada itu, Shahz berkata, dia ingin terus berlakon di dalam drama tersebut selepas keluar daripada hospital tetapi pihak produksi tidak dapat menunggu kerana penggambaran telah pun dimulakan.

Ujarnya, dia hanya sempat berada di lokasi selama sehari sebelum dimasukkan ke hospital dan mengakui ada menerima bayaran pendahuluan.

"Pihak produksi tidak dapat menunggu saya kerana penggmabaran telah pun dimulakan dan mereka terpaksa menggantikan peranan saya dengan pelakon lain.

"Walaupun sedikit sedih tetapi saya anggap ia bukan rezeki saya," ujarnya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan dia masih belum memulangkan duit pendahuluan yang telah diterima daripada pihak penerbit, Shahz mengakui telah menerima bayaran sebanyak 25 peratus sebelum penggambaran dan memberitahu akan memulangkan wang berkenaan dalam masa terdekat.

"Saya telah memberitahu Kak Julie akan memulangkan duit berkenaan dalam masa terdekat kerana sedikit sibuk di lokasi penggambaran drama Atas Nama Cinta," ujarnya.

Terdahulu, Shahz memberitahu dia telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 5 hingga 12 Disember lalu disyaki menghidapi penyakit batu karang.

Shahz berkata, bagaimanapun doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit tersebut menyebabkan dia terpaksa ditahan di hospital selama seminggu untuk pemerhatian lanjut.

"Doktor syak saya mempunyai masalah batu karang apabila saya mengalami jangkitan pada air kencing dan sehingga kini saya masih bergantung kepada antibiotik selama tiga minggu untuk memastikan keadaan benar-benar pulih," katanya.

Sementara itu, Julie ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan dia mempunyai masalah dengan pelakon berusia 23 tahun itu.

"Benar dia menarik diri daripada drama tersebut tetapi tiada sebarang perselisihan faham antara kami.

"Kalau ada sudah tentu saya akan buat sidang akhbar mengenainya," ujarnya.

Julie bagaimanapun mengakui Shah ada menelefonnya memberitahu akan memulangkan duit pendahuluan yang diterima kepadanya dalam masa terdekat.

"Ya dia ada menelefon memberitahu akan memulangkan duit pendahuluan tersebut dalam masa dua ke tiga hari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahz berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Bunga April dan sedang sibuk di lokasi drama Atas Nama Cinta terbitan Zeel Production sebelum berangkat ke Australia pada Januari depan untuk menyelesaikan beberapa adegan drama itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain