suria

Anzalna Enggan Hanyut Kerana Populariti

ASALNYA, bakat baru bernama Anzalna Nasir atau mesra disapa Anzalna ini mengakui tidak pernah terlintas untuk bergelar seorang pelakon.

Apatah lagi untuk dia menceburi dunia lakonan secara profesional, sekali gus menjadikan bidang ini sebagai periuk nasinya sejak enam bulan lalu.

Fakta itu berulang kali diluahkan aktres kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini tika bertandang ke Menara Star bagi menjayakan sesi fotografi untuk keluaran terakhir OopStarz! ini.

Jelas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini, hingga ke saat perbualan kami berlangsung, dia masih tercari-cari laluan dan objektif sebenar dirinya melangkah ke dunia hiburan yang penuh ranjau ini.

“Jika majoriti anak seni yang menceburi bidang ini sudah tahu matlamat dan hala tuju mereka daripada hari pertama lagi tetapi itu tidak berlaku kepada saya.

“Terus-terang, saya menyertai bidang ini dengan niat sekadar cuba-cuba dan hanya mengikutkan rentak dan perancangan yang telah terbentang di depan mata,” katanya.

Imbas Anzalna, sejurus berakhir pertandingan itu pada hujung tahun lalu, dia masih mengintai peluang terbaik dalam bidang ini sehinggalah tawaran untuk membintangi drama bersiri Suria Di Cardoba terhidang.

“Pada asalnya, sebaik sahaja program Dewi Remaja 2010 berakhir, saya langsung tidak terfikir untuk menceburi bidang lakonan. “Kebetulan, pada waktu itu saya menerima tawaran berlakon drama Suria Di Cardoba, jadi daripada situ saya terima sahaja tawaran tersebut untuk menguji kebolehan.

“Tidak sangka pula, dalam pada perasaan ragu-ragu dan tidak pasti itu, rupa-rupanya bidang ini menjadi kerjaya utama saya,” katanya.

Cintai dunia lakonan

Biarpun rasa cinta pada lakonan mula meresap jiwa raganya, Anzalna mengakui penerimaan yang berlaku secara perlahan-lahan itu tidak tercetus dengan sewenangnya.

Sambungnya, dalam keseronokannya menimba ilmu dan pengalaman lakonan saban hari, dia tidak menyangkal jauh di lubuk hatinya masih terdetik persoalan sejauh mana dia mahu pergi dalam bidang ini.

“Saya bersyukur atas peluang yang diberikan hingga kini tetapi pelbagai persoalan sering bermain di fikiran, apakah bidang ini akan menjadi karier kekal untuk saya dan jika ini jalan yang telah ditetapkan selama mana saya mampu bertahan?

“Setakat ini saya gembira dengan fasa kehidupan hari ini yang menjanjikan pendapatan lumayan. Malah, saya akui antara sebab saya menceburi bidang hiburan pada awalnya adalah kerana faktor pendapatan,” katanya.

Namun begitu, anak kedua dalam keluarga ini berkata ia bukan alasan untuknya mengambil mudah tanggungjawab yang diberikan setiap kali terlibat dalam sesebuah produksi drama atau filem.

Biarpun dia tidak menyasarkan untuk kekal lama, peluang yang hadir kala ini, ujarnya harus bijak dimanfaatkan demi punca rezeki itu.

Pandangan dangkal

Mendengar pengakuan telus kronologi pembabitannya yang dilihat kurang serius pada awalnya, Anzalna ditanya mengenai pandangan berhubung kemunculan pelapis yang lebih menonjol berbanding hasil kerja masing-masing.

Sempat menguntumkan senyuman, gadis ini berpendapat bahawa banjiran bakat baru dalam dunia hiburan khususnya seni lakon tidak membawa manfaat kepada perkembangan industri seni tempatan jika mereka muncul dengan tujuan yang salah.

“Saya akui ketika menyertai bidang ini matlamat saya adalah untuk memperoleh pendapatan yang lumayan. Malah, saya tidak peduli pun soal populariti kerana apa yang lebih penting adalah mendapat tawaran lakonan yang berterusan sebagai sumber pendapatan.

“Namun, pandangan dangkal itu mula berubah selepas saya mendalami bidang ini. Saya mula sedar bahawa saya perlu komited terhadap setiap ringgit yang dibayar dengan memastikan lakonan saya menepati kehendak pengarah dan skrip sesebuah karya itu.

“Namun, jika ada di kalangan bakat baru yang masuk ke industri ini untuk popular atau menjadikan ia platform untuk tujuan tidak baik, maka tidak ada gunanya industri kita mempunyai 1,000 bakat baru sekalipun.

“Kalau jumlahnya ramai tetapi tidak berkualiti dan mempunyai tujuan yang salah, kuantiti itu tidak akan membantu untuk mengangkat dunia seni tanah air ke tahap yang baik,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Foto NORMAN HIU Solekan SHAMNINA OMAR (019-3686619) menggunakan produk LAURA MERCIER

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain