AKTOR Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 28, mengakui tidak mudah bagi anak seni sepertinya menjalani transformasi sebagai penuntut sepenuh masa.Letak ke tepi soal publisiti atau tawaran lakonan yang terpaksa dilupakan buat seketika, apa yang lebih utama bagi pelakon filem ...Dalam Botol ini adalah untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai mahasiswa. Cerita Arja, selain perlu melakukan sebaik mungkin bagi menamatkan semester terakhir pengajiannya dalam program Sarjana Muda, Seni Persembahan Universiti Sains Malaysia (USM) itu, dia tidak terkecuali berdepan kemelut kesempitan wang.“Saya ada menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepanjang tempoh pengajian ini tetapi selepas ditolak itu dan ini jumlah tersebut memang tidak cukup untuk menampung kehidupan bagi satu-satu semester itu.“Sejak bergelar penuntut saya terpaksa menolak tawaran lakonan bagi menumpukan perhatian pada pengajian. Tambahan pula, ini adalah semester terakhir jadi saya perlu banyak berkorban untuk menamatkan pengajian tepat pada waktunya,” katanya kepada OopStarz!.Namun, kongsi Arja dia bersyukur kerana bakat dan profil seni yang dimiliki itu banyak membuka jalan untuk dia mencari pendapatan sampingan.“Mujurlah banyak peluang yang terbuka buat saya sepanjang pengajian ini termasuklah menjadi penyanyi residen di USM dan undangan nyanyian dalam beberapa majlis di sekitar Pulau Pinang.“Walaupun bayarannya tidak sebanyak mana, sekurang-kurangnya pendapatan itu banyak membantu saya berbelanja,” katanya yang turut aktif memberikan ceramah berkaitan seni persembahan pada pelajar-pelajar sekolah di sekitar negeri itu.Berkongsi perkembangan semasa, Arja berkata kesibukannya dengan komitmen pengajian memaksa dia untuk mengorbankan cabang seni buat seketika.Justeru itu, katanya dia tidak akan bergiat secara aktif sehinggalah pengajiannya tamat pada Jun tahun depan.“Saya perlu menumpukan perhatian kerana ini adalah semester terakhir. Insya-Allah saya akan kembali aktif selepas pengajian berakhir pada Jun tahun depan,” katanya mengakhiri perbualan.Foto NORAFIFI EHSAN