suria

7 Gerhana Ubah Andrea Abdullah

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Andrea Abdullah menjelaskan drama lakonannya, 7 Gerhana yang sedang ditayangkan di Astro Prima telah mengubah dirinya sebagai seorang pelakon.

Andrea berkata, drama arahan Amar Delon itu telah memcabar kredebilitinya sebagai seorang pelakon melalui watak Rozie yang dipegangnya.

"Menerusi 7 Gerhana saya belajar banyak perkara mengenai sudut lakonan kerana watak Rozie sangat mencabar dan penuh dengan emosi dan berjaya menyerlahkan sisi saya sebagai seorang pelakon," ujarnya kepada mStar Online di sini baru-baru ini.

Andrea berkata, dia turut gembira apabila lakonannya itu mendapat pelbagai komen positif daripada pelbagai pihak dan menurutnya ia adalah petanda baik buat kerjaya lakonannya.

Ujarnya, sebelum ini walaupun telah banyak berlakon dalam pelbagai drama namun ia jarang diberi perhatian oleh pengkritik dan penonton.

"Alhamdulilah menerusi 7 Gerhana bakat saya sebagai seorang pelakon telah mula dilihat dengan serius oleh ramai pihak," ujarnya.

Drama terbitan syarikat pelakon Hans Isaac, Tall Order Prosductions itu mengisahkan mengenai seorang wanita yang berkahwin sebanyak tujuh kali namun hampir semua lelaki yang berkahwin dengannya bukan atas pilihan sendiri.

Dalam pada itu, Andrea melahirkan rasa kecewanya terhadap dunia lakonan di negara ini yang terlalu mementingkan rupa daripada bakat seseorang.

Andrea berkata, dia berharap lebih ramai pihak membuka mata terhadap pelakon sepertinya yang kurang diberi pendedahan dalam media.

"Tidak bererti pelakon seperti saya kurang mendapat pendedahan dalam media massa adalah tidak bagus dan sebaliknya.

"Jadi saya berharap selepas ini artis-artis seperti saya diberi ruang sama rata dengan nama-nama yang sering menjadi perhatian dalam mendapatkan sesuatu watak," ujarnya.

Sementara itu, Andrea yang juga seorang pengacara televisyen berkata, dia masih menggalas tugas sebagai pengacara untuk beberapa buah program untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Selera Etnik. "Pengacaraan masih menjadi keutamaan saya dan jika ada tawaran saya pasti akan terima," ujarnya.

Selain 7 Gerhana, kelibat Andrea turut dapat disaksikan dalam drama terbitan Astro Ceria iaitu Epit dan Elly yang secara keseluruhannya rancangan nombor tiga paling popular di rangkaian stesen berbayar itu.

Drama 7 Gerhana kini ditayangkan di Astro Prima saluran 105 setiap hari Rabu pukul 9 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain