Aeril Zafril memberitahu gementar bergandingan dengan Tiz Zaqyah. Foto THE STAR Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI.PUTRAJAYA: Pelakon kacak, Aeril Zafril, mengakui gementar apabila digandingkan dengan pelakon Tiz Zaqyah menerusi filem Cinta Kura-Kura yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 1 Mac depan.Aeril,24, berkata, perasaan gugup itu timbul kerana Tiz adalah seorang aktres popular dan mempunyai ramai peminat berbanding dirinya yang masih membina nama sebagai seorang pelakon. "Terus terang saya katakan pada awalnya memang malu nak berhadapan dengan Tiz ketika mula-mula tiba di set penggambaran Cinta Kura-Kura."Bagaimanapun saya tidak mahu perasaan itu menghantui diri saya kerana peluang berlakon dengannya bukan datang setiap hari."Keramahan Tiz dan sifat rendah dirinya telah membuatkan saya selesa dengannya sekali gus kami dapat bekerjasama dengan baik di lokasi," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sesi penggambaran filem itu di Hotel Palm Spring di sini pada Selasa.Aeril memberitahu, usia mereka yang sebaya telah memberikan lagi keserasian semasa bersama-sama menjayakan filem arahan Nizam Zakaria itu."Umur kami sama. Era kami juga sama dan kami boleh berkongsi pelbagai perkara dan memahami antara satu sama lain," ujarnya.Dalam pada itu, ditanya mengenai pengalaman bekerja di bawah produksi KRU Studios dan pengarahnya, Aeril berkata dia rasa bertuah dapat bekerjasama di bawah label tersebut.Dia tidak berfikir panjang ketika ditawarkan berlakon dalam filem itu tambahan pula peluang berkenaan datangnya daripada produksi yang telah membina nama dengan pelbagai kejayaan."Bodohlah saya jika menolak tawaran daripada KRU Studios dan sebagai pelakon baru ini saya perlu merebut peluang dan langsung tidak memikirkan mengenai bayaran," ujarnya.Cinta Kura-Kura mengisahkan Nani seorang gadis ceria (lakonan Tiz) yang mempunyai seekor kura-kura sebagai binatang peliharaan bernama Nico.Nico mempunyai kelebihan iaitu boleh bercakap dengan manusia dan perpindahan Nani ke kawasan perumahan baru telah memperkenalkannya dengan seorang jejaka, Adam (Aeril).Adam pula adalah satu-satunya manusia yang boleh bercakap dengan Nico (Zizan Razak) dan telah jatuh cinta dengan jiran barunya itu tetapi Nico tidak menyukai Adam dan mula mensabotaj hubungan mereka dengan pelbagai perkara.Selain Aeril, Tiz dan Zizan, Cinta Kura-Kura turut dibarisi oleh pelakon seperti Fara Fauzana, Fizz Fairuz dan Sy8 (Usop Wilcha).