Zara Nur Aisyah PETALING JAYA: Penyanyi Safura Yaacob menganggap kelahiran bayinya pada 3 Januari lepas sebagai satu rahmat selepas kehilangan anak tersayang, Nur Aisyah Mariam.Safura selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.33 kilogram yang diberi nama Zara Nur Aisyah di Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira pukul 4.32 petang. "Alhamdulillah, Zara dilahirkan dengan selamat. Suami (pelakon Sharonizam Noor) pula sangat gembira dengan kelahirannya sehinggakan dia menitiskan air mata."Cuma Zara mempunyai sedikit masalah penyakit kuning dan kami perlu berulang alik ke hospital selang tiga hari bagi mendapatkan rawatan lanjut."Justeru itu saya tidak boleh berpantang mengamalkan jamu kerana ia boleh mengganggu pemprosesan susu badan saya," ujarnya yang dihubungi mStar Online di sini, Selasa.Nur Aisyah Mariam meninggal dunia pada September tahun lalu akibat demam berpanjangan pada usia tiga tahun.Selain Zara dan Mariam, Safura mempunyai seorang lagi anak iaitu Yusoff Firdaus hasil perkahwinannya dengan Sharonizam.Hasil perkahwinan terdahulu, pelakon wanita itu turut mempunyai tiga orang anak iaitu Nurul Natasha, 17, dan Muhammad Daniel Khaqim, 11.Safura menambah, kehadiran Zara diibaratkan seperti penyeri hidup mereka sekeluarga lebih-lebih lagi bayi tersebut mempunyai iras-iras wajah Mariam."Sejak pemergian Mariam, rumah kami sedikit sunyi kerana masih lagi belum menyesuaikan diri tanpanya. Zara merupakan anugerah Allah yang sangat bermakna untuk kami."Dalam pada itu, saya akan berehat seketika daripada sebarang aktiviti selama empat hingga lima bulan untuk menjaga Zara," katanya.