suria

Alvin Anthons Enggan Disamakan Dengan Glenn Fredly

Alvin Anthons. Foto LIM CHENG KIAT
Alvin Anthons. Foto LIM CHENG KIAT
Alvin Anthons. Foto LIM CHENG KIAT

PETALING JAYA: Penyanyi baru Alvin Anthons, 36, enggan imejnya disamakan dengan penyanyi Indonesia, Glenn Fredly sebaliknya mahu dinilai menerusi kemunculan single lagu pertamanya berjudul Berdua.

Alvin yang merupakan penyanyi baru di bawah naungan syarikat Wake The Baby, berkata, imej itu bukan sahaja digayakan ketika di atas pentas, tetapi juga diluar ketika beriadah.

"Apa yang anda lihat sekarang adalah diri saya tanpa meniru gaya siapa-siapa termasuklah Glenn.

"Apa yang saya inginkan ialah agar lagu pertama saya, Berdua menjadi hit dan menjadi kegemaran kepada para peminat muzik tempatan," katanya.

Beritahu Alvin, lagu genre pop rock itu merupakan percubaan pertamanya selepas 10 tahun menyimpan impian untuk bergelar penyanyi profesional.

Tambahnya yang berbangsa India ini, usia yang agak lanjut juga bukanlah satu penghalang untuk memperkenalkan bakat nyanyian kepada umum.

"Saya percayakan dengan bakat yang ada. Tambah pula bekerjasama dan duduk di bawah naungan Ajai merupakan satu peluang yang besar sekali gus memberi keyakinan untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang ini.

"Pada bulan Mac depan, saya akan muncul dengan sebuah album mini memuatkan sebanyak empat buah lagu baru," ujarnya yang begitu fasih berbahasa Malaysia.

Sementara itu, Ajai pula berkata Alvin mempunyai nada suara yang cukup unik dan yakin penyanyi baru itu mampu menarik perhatian umum menerusi lagunya.

"Selain fasih berbahasa Malaysia, Alvin mempunyai bakat yang besar dalam dirinya.

"Dia juga merupakan artis bukan Melayu pertama Wake The Baby. Tahun ini saya akan mencari lebih ramai lagi artis bukan Melayu untuk menyertai syarikat saya ini," tuturnya.

Artikel Sebelum