suria

Watie (Elite) & Joey Nikah Dalam Diam

Joey dan Watie sedang melalui hari-hari bahagia sebagai suami isteri. Gambar ihsan Pancaindera.
Joey dan Watie sedang melalui hari-hari bahagia sebagai suami isteri. Gambar ihsan Pancaindera.
Joey dan Watie sedang melalui hari-hari bahagia sebagai suami isteri. Gambar ihsan Pancaindera.

PETALING JAYA: Ketika orang tertanya-tanya sejauh manakah hubungan pelakon Norwati Sadali (Watie Elite), 35, dengan Zulkifli Daud (Joey), 38, pasangan tersebut rupa-rupanya dilaporkan sudah berumah tangga dalam diam.

mStar Online dimaklumkan mereka telah bernikah dalam satu majlis ringkas yang dihadiri oleh keluarga terdekat masing-masing pada hujung tahun lalu.

Watie yang dihubungi bagaimanapun enggan menyatakan secara jelas status perkahwinannya tetapi tidak menafikan atau mengiakan tentang hal tersebut.

"Saya tidak boleh mengiakan atau menafikan tentang status hubungan saya dan Joey. Mungkin kami akan membuat satu sidang media khas pada bulan depan berkaitan hal itu.

"Kami mahu keadaan 'panas' yang pernah dilalui Joey pada tahun lalu reda sepenuhnya sebelum kisah mengenai hubungan kami dijelaskan kepada umum.

"Lagipun saya perlu meminta izin daripadanya (Joey) sebelum membuat sebarang kenyataan. Maklumlah, sekarang ini kami sudah 'berdua'," katanya.

Tambah Watie, dia akan mencari tarikh sesuai untuk membuat pengumuman tersebut sebelum Joey sibuk dengan aktiviti konsert jelajah bersama kumpulan Exist tidak lama lagi.

Joey, yang merupakan vokalis kumpulan Exists mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, 5, hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Noraini Mohamad Nasir.

Mereka telah bercerai pada 8 Ogos tahun lalu.

Begitu juga dengan Watie yang telah mempunyai seorang anak, Ahmad Afif Danial, 5, hasil perkahwinan terdahulu.

Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka dikatakan menjalin hubungan sewaktu bertemu ketika penggambaran drama bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor.

Sementara itu, kata Watie, dia bersyukur, walaupun terpaksa berdepan dengan kontroversi, kerjaya lakonannya masih lagi tidak terjejas.

"Alhamdulillah, sejak tahun lalu hingga sekarang, tawaran lakonan yang saya terima tidak putus-putus. Cuma, kerjaya Joey yang menerima kesan yang banyak.

"Bagaimanapun, saya berharap, tahun 2012 memberi satu sinaran buat kami agar bahagia dan serta menjadi pembuka rezeki untuk kami sekeluarga," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain