suria

Astrid Satriasari Tampil Lebih Feminin

PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia, Astrid Satriasi, 30, mengakui mula melalui proses perubahan imej yang dilihat semakin feminin berbanding sebelum ini apabila berpenampilan 'ghotic'.

Astrid berkata, perubahan itu dibuat bersempena dengan kemunculan album ketiganya, Lihat Aku Sekarang yang telah pun dilancarkan di Indonesia pada Jun tahun lalu dan akan dilancarkan di negara ini dalam waktu terdekat.

"Penampilan terbaru ini dibuat seiring dengan umur saya yang sudah meningkat di samping kemunculan album baru ini yang membuatkan saya mahu kelihatan lebih feminin.

"Begitu juga dengan lagu-lagu yang dimuatkan dalam Lihat Aku Sekarang, ia ternyata menunjukkan perubahan ketara saya iaitu lebih matang dan penuh warna," katanya dalam temu bual menerusi sidang video di pejabat Universal Music di sini.

Tambah Astrid, walaupun perubahannya itu dilihat begitu ketara, dia optimis album itu mampu diterima umum.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan ialah Curiga Lagi, Tentang Rasa, Lihat Aku Sekarang, Maaf Yang Tak Ada, Asik Aja, Bukan Waktunya, Sakit Hati Ini, Bukan yang Terbaik, Tak Ingin Dicintai, Tetap Perawan, Sampai Kapan dan Tak 100%.

Ujar anak kelahiran Surabaya ini, dia akan mempromosikan single pertamanya terlebih dahulu iaitu Tentang Rasa yang merupakan salah satu lagu kegemarannya.

Malah ia berjaya menjadi nada dering pemanggil (RBT) tertinggi di Indonesia selain menjuarai carta di beberapa buah stesen radio negara tersebut.

"Saya tidak meramalkan Tentang Rasa akan menjadi pujaan ramai di Malaysia tetapi saya benar-benar gembira lagu ini diterima semua," jelasnya.

Album Lihat Aku Sekarang diedarkan oleh Universal Music (Malaysia) dan penyanyi ini bakal mengadakan sebuah konsert bersama beberapa penyanyi lain dari negara itu pada Mac depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain